TIADA siapa akan tertinggal dalam pakej rangsangan ekonomi baharu yang bakal diumumkan Jumaat ini, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Beliau menekankan pakej rangsangan ekonomi itu akan memberi tumpuan kepada rakyat berpendapatan rendah.
Pada masa sama Muhyiddin menyeru badan amal dan kumpulan sosio-kebajikan untuk membantu mereka yang terjejas susulan perintah larangan pergerakan ini.
“Sama ada anda pemandu teksi, pemandu grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual goreng pisang, penjual burger, pekerja harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya memastikan anda semua beroleh manfaat.
“InsyaAllah tiada siapa akan ditinggalkan,” kata perdana menteri dalam perutusan khasnya petang tadi.
Muhyiddin mengumumkan bahawa Putrajaya memutuskan untuk melanjutkan perintah kawalan pergerakan sehingga 17 April bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Pandemik coronavirus yang menjangkiti 1,796 rakyat di Malaysia memaksa kerajaan menutup operasi perniagaan premis tidak penting dan agensi awam.
Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) penutupan dianggarkan menyebabkan kerugian sebanyak 2.4 juta pekerjaan kebanyakannya buruh tidak mahir.
Menurut pemikir itu jumlah kumulatif sebanyak RM95 bilion dalam pendapatan isi rumah dijangka akan hilang iaitu penurunan sebanyak 12% dari garis dasarnya sebelum perintah larangan pergerakan dibuat pada 17 Mac.
Dalam perutusan khas beliau, Muhyiddin berharap Pusat Zakat untuk meningkatkan program mengagihkan bantuan kepada golongan miskin.
“Mungkin mereka yang sebelum ini tidak tersenarai sebagai asnaf tetapi dalam ekonomi yang terjejas pada masa ini mereka menjadi golongan asnaf yang layak menerima bantuan zakat.
“Saya berharap pusat pungutan zakat memainkan peranan lebih proaktif membantu asnaf yang sedang menghadapi keadaan hidup yang agak sukar pada masa ini,” katanya. – 25 Mac, 2020.
Komen