Kumpulan sahabat mula kempen bantu petugas kesihatan


Sheridan Mahavera

Sumbangan pertama berbentuk makanan akan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2020.

PRIHATIN dengan penat lelah doktor dan jururawat menangani kes Covid-19, sekumpulan sahabat tampil dengan program untuk menyediakan makanan berkhasiat secara percuma kepada petugas kesihatan yang berjuang di barisan hadapan.

Dikenali sebagai program Meals4Medics, mereka juga meluaskan bentuk bantuan termasuk menyumbangkan topeng muka, termometer dan air minum berbotol bagi menambah sumber hospital.

Program itu dimulakan oleh sekumpulan sahabat pada 20 Mac lalu selepas seorang daripada mereka yang merupakan seorang doktor meluahkan perasaan tentang cabaran yang dihadapi staf kesihatan untuk menangani Covid-19.

Jurucakap program itu, Wong Wei Zhen berkata kempen itu mendapat maklum balas yang luar biasa dalam tempoh 24 jam pertama apabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM13,000.

Katanya sumbangan pertama berbentuk makanan akan dihantar kepada staf Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

“Kita mula dengan 100 bungkus makanan sehari untuk HKL dan kita akan mengubah jumlah itu berdasarkan maklum balas mereka,” kata Wong kepada The Malaysian Insight.

Kini selepas beberapa hari, kempen itu sudah mengumpulkan sumbangan lebih RM27,000 berdasarkan laman web mengumpul dana, Kitafund.

Buat masa ini, Meals4Medics berkolaborasi dengan HKL dan Hospital Temerloh

Hospital Raja Perempuan Bainun di Ipoh juga menyuarakan minat untuk bekerjsama dengan kumpulan itu.

Porgram Meals4Medics juga meluaskan bentuk bantuan termasuk menyumbangkan beberapa alat PPR termasuk topeng muka, termometer dan air minum berbotol bagi menambah sumber hospital. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2020.

Kumpulan tersebut bekerjasama dengan restoran tempatan dan premis makanan untuk menyediakan hidangan dan menghantarnya ke hospital.

“Hospital yang terlibat juga menyatakan keperluan peralatan perlindungan diri (PPE) dan bekalan lain. Jadi kita akan menyalurkan 30% dana untuk tujuan ini dan selebihnya menyediakan makanan,” kata Wong.

“Pembahagian bantuan akan berubah mengikut keperluan hospital yang terlibat. Kami berharap dapat membantu hospital kecil di luar Lembah Klang yang memerlukan bantuan ini.”

Buat masa ini, hospital yang terlibat dalam program tersebut meminta lebih banyak bekalan termometer, topeng muka, air botol, baju plastik dan 
stetoskop.

Petugas kesihatan dilaporkan mengalami masalah kekurangan bekalan PPE seperti topeng muka manakala Ahli Parlimen dari Perak Dr Ko Chung Sen mendakwa ada pembekal cuba meraih keuntungan ekoran peningkatan jumlah permintaan.

Semalam, Malaysia mencatatkan dua lagi kematian menjadikan jumlah keseluruhan korban Covid-19 meningkat kepada 10 orang.

Setakat pukul 12 tengah hari semalam, 123 kes positif Covid-19 dicatatkan dengan keseluruhan kes kini menjadi 1,306. – 23 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen