Korban Covid-19 cecah 10 orang, 123 kes baru


Ragananthini Vethasalam

Kes kematian akibat Covid-19 kini meningkat kepada 10 orang dengan 123 kes baru dilaporkan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 22 Mac, 2020.

SATU lagi kematian akibat Covid-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan, menjadikan jumlah keseluruhan korban meningkat kepada 10 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes terbaru melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 74 tahun dari kluster tabligh.

Setakat ini, enam korban Covid-19 merupakan pesakit dari kluster tabligh.

Dr Noor Hisham berkata kes kematian terbaru merupakan pesakit ke-259 yang dimasukkan ke Hospital Besar Pulau Pinang pada 13 Mac lalu.

“Mangsa meninggal dunia pukul 4.05 petang hari ini,” kata Dr Noor Hisham dalam satu sidang media hari ini.

Setakat pukul 12 tengah hari, sebanyak 123 kes baharu dicatatkan, menjadikan kes keseluruhan meningkat kepada 1,306.

Dua kematian dicatatkan pada hari ini selepas seorang doktor di Perlis disahkan meninggal dunia pagi ini.

Kes kematian kesembilan melibatkan lelaki berumur 48 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Turki. 

Mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah, Perlis sebelum disahkan meninggal dunia pukul 10.33 pagi.

Dr Noor Hisham berkata doktor itu tidak terlibat dengan operasi menangani Covid-19 melibatkan kementerian itu pada waktu ini.

“Kes jangkitan Covid-19 ini disyaki bukan dari kalangan barisan hadapan mahupun daripada kalangan rakan kerja yang berhadapan dengan pesakit Covid-19.

“Ianya adalah berkait dengan sejarah perjalanan ke luar negara,” katanya. – 22 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen