Petugas kesihatan bimbang bekalan PPE kurang


Ragananthini Vethasalam

Petugas di beberapa hospital terpaksa menggunakan PPE buatan sendiri seperti pelindung muka untuk merawat pesakit Covid-19 disebabkan kekurangan bekalan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2020.

PETUGAS kesihatan menyuarakan kebimbangan tentang tahap kesihatan mereka ekoran kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk digunakan bagi mengendalikan kes Covid-19, kata beberapa doktor kepada The Malaysian Insight.

The Malaysian Insight difahamkan bahawa Hospital Sungai Buloh yang menjadi pusat rawatan Covid-19 berdepan kekurangan bekalan beberapa barangan PPE.

Bagaimanapun kekurangan bekalan itu bukan disebabkan tiada dana tetapi masalah bekalan dari pengilang.

Seorang doktor yang enggan dikenali memberitahu The Malaysian Insight bahawa petugas barisan depan perlu menukar pakaian PPE sekali atau dua kali setiap syif bergantung kepada jumlah pesakit.

“Sebagai contoh, jika wad Covid-19 mempunyai 40 pesakit, anda hanya boleh menukar pakaian selepas memeriksa semua pesakit.

“Jika anda tidak tahan panas (terutamanya waktu tengahari), anda akan menukar tugas itu dengan orang lain,” katanya.

Doktor itu mendakwa petugas di beberapa hospital terpaksa menggunakan PPE buatan sendiri seperti pelindung muka untuk merawat pesakit Covid-19 disebabkan kekurangan bekalan.

Seorang lagi doktor yang enggan dinamakan berkata kekurangan PPE terutamanya topeng muka amat membimbangkan.

Katanya petugas kesihatan hanya menggunakan sekali sahaja topeng muka pada setiap hari.

“Kita mengehadkan satu topeng muka setiap hari dengan menulis nama dalam buku pendaftaran setiap kali mengambil topeng muka.

“Kita tidak benarkan penggunaan lebih satu topeng muka sehari. Jadi situasi ini agak sukar,” kata doktor itu sambil menambah setiap topeng muka hanya boleh digunakan antara tiga hingga empat jam. – 22 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen