UMNO tidak boleh dikecam sebagai tidak bermoral hanya kerana pemimpinnya mempersoalkan barisan Jemaah Menteri yang dibentuk oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata Naib Presiden parti Mohamed Khaled Nordin.
Katanya, kritikan sepatutnya dilontarkan kepada kualiti dan wibawa Kabinet itu sendiri, yang beliau bayangkan dibentuk melibatkan pemimpin yang juga tidak bermoral.
Khaled menjawab kritikan bekas ketua hakim Abdul Hamid Mohamad yang menganggap pemimpin Umno belum tahu hendak berubah, masih mementingkan diri dan sibuk dengan jawatan, walaupun pernah kalah pilihan raya.
“Kebimbangan Tun Hamid sepatutnya jangan ditujukan kepada Umno. Ia patut ditujukan kepada kualiti dan wibawa kabinet itu sendiri,” kata Khaled, dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau memberi contoh bagaimana ahli Parlimen bekas PKR yang diketuai Mohamed Azmin Ali, yang mengetepikan mandat rakyat dan berperanan menyebabkan pentadbiran Pakatan Harapan runtuh tiga minggu lalu.
“Bila 10 dari menteri dari blok Azmin adalah mereka yang tidak menghormati mandat rakyat dan memperdagangkan jawatan Ahli Parlimen mereka untuk jawatan, apakah itu sesuatu yang bermoral pada kaca mata Tun Hamid?” tanya Khaled.
Beliau juga menyebut contoh menteri dan timbalan menteri yang dilantik dari Bersatu, yang menang pilihan raya atas tiket Umno tetapi “memilih jawatan dari wibawa”, dan bertanya apakah ini kepimpinan Melayu yang absah.
“Malah ada di kalangan mereka yang terpalit dengan skandal yang menjijikkan tetapi masih dilindungi dan diberikan tempat dalam kerajaan, diisebalik janji untuk kerajaan yang bersih dan berintegriti,” katanya.

Khaled tidak menamakan pemimpin “terpalit skandal” yang beliau maksudkan.
Menurut Khaled, Umno hanya menjalankan tugas moralnya sebagai parti politik apabila mempersoalkan barisan Kabinet Muhyiddin..
Jelasnya, beliau menghormati pandangan bekas ketua hakim itu namun mengingatkan kerajaan hanya akan disegani dan diyakini dengan wibawa Kabinetnya.
“Umno hanya melakukan tugas moralnya sebagai parti politik untuk menuntut representasi yang strategik dengan sumbangannya dan setelah memperkirakan keupayaan dan pengalamannya dalam melestarikan kepentingan bangsa Melayu,” katanya.
Tambah Khaled, sebagai parti politik, Umno tidak akan berdiam diri apatah lagi sebagai suara orang Melayu.
Selepas Muhyiddin mengumumkan Kabinetnya Isnin lalu, beberapa pemimpin Umno menyerang komposisi barisan Jemaah Menteri itu sebagai tidak setara mengikut saiz parti dalam kerajaan.
Mereka juga menyelar pengagihan jawatan yang dianggap mengasingkan Umno, serta PAS, daripada mendekati rakyat misalnya pertanian atau pembangunan luar bandar, sehingga ada yang mencadangkan agar Parlimen dibubar untuk pilihan raya semula.– 14 Mac, 2020.
Komen