Pemimpin Umno belum berubah, kata bekas ketua hakim


Bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad kesal pemimpin politik masih menyuarakan tidak puas tentang pembahagian jawatan Kabinet. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2020.

PEMIMPIN Umno masih tidak berubah, masih mementingkan diri, dan tidak mengambil pengajaran walaupun pernah kalah pilihan raya, kata bekas ketua hakim Abdul Hamid Mohamad.

Beliau berkata demikian dalam satu tulisannya sebagai reaksi terhadap kenyataan beberapa pemimpin Umno mempersoalkan barisan Jemaah Menteri yang dibentuk oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin awal minggu ini.

“Berapa banyak jawatan menteri hendak diwujudkan untuk diberi kepada setiap parti dan setiap orang supaya mereka berpuas hati?

“Nampaknya, pemimpin-pemimpin itu tidak berubah, tidak mengambil iktibar daripada kekalahan dalam PRU14 (terutama sekalu pemimpin-pemimpin Umno), lebih mementingkan parti dan diri daripada kepentingan negara, bangsa dan agama,” tulis beliau di blognya.

Menurut Hamid, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baru dibentuk dua minggu ini belum stabil dan belum sempat pun lagi buat kerja.

Pada masa sama, negara sedang berdepan dengan pelbagai isu ekonomi, kos sara hidup dan penularan wabak Covid-19.

Namun beliau kesal pemimpin politik masih menyuarakan tidak puas tentang pembahagian jawatan Kabinet.

Jelas Hamid, pemimpin PN yang sekarang sudah jadi kerajaan sepatutnya menumpu perhatian kepada kerja.

“Tolonglah jangan bangkitkan lagi isu pembahagian jawatan menteri dan timbalan menteri. 

“Jika tidak puas hati, letak jawatan. Jika tidak, buat kerja. Jika tak tahu, diam,” katanya, sambil mengingatkan bahawa rakyat sedang memerhati.

“Jangan bagi mereka meluat dengan anda. Anda memerlukan undi mereka,” tambahnya.

Sejak Muhyiddin mengumumkan Kabinetnya pada petang Isnin lalu, beberapa pemimpin Umno meluahkan kecewa terhadap pengagihan jawatan dalam jemaah menteri, termasuk menyeru agar Parlimen dibubarkan untuk pilihan raya semula.

Antara yang bersuara sebelum ini ialah bekas menteri Azalina Othman Said, yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ahli Parlimen Pengerang, yang mempersoalkan kompisisi lantikan yang tidak seimbang dengan kekuatan parti dalam pembentukan kerajaan.

Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor pula mempertikaikan suara Orang Asli yang diketepikan, sementara Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Raden mempersoalkan tentang tiadanya menteri dari Sabah.

Veteran Umno Shahrir Samad juga berkata pelantikan menteri dalam barisan Kabinet tidak mencerminkan semangat PN secara keseluruhan.

Hari ini, bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo juga menyuarakan kritikan yang sama. – 13 Mac, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen