Khir Toyo pun kritik Kabinet Muhyiddin


Bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo dakwa Ppngagihan jawatan menteri dan portfolio kementerian juga bertujuan mahu melemahkan Umno dan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2020.

JEMAAH Menteri yang dibentuk oleh Muhyiddin Yassin minggu ini hanyalah untuk membalas budi mereka yang “berjasa menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan”, kata bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo.

Pengagihan jawatan menteri dan portfolio kementerian juga bertujuan mahu melemahkan Umno dan PAS, dakwanya.

“Saya lihat Kabinet ini tak lebih dari Kabinet hadiah, memberi jawatan kepada mereka yang berjasa menumbangkan kerajaan PH lalu,” katanya, dalam satu tulisan yang dimuat naik ke Facebook.

Khir menyertai sekurang-kurangnya empat ahli Parlimen Umno yang sejak Selasa mengkritik Kabinet Muhyiddin yang disifatkan tidak seimbang antara parti.

Mereka juga kesal Muhyiddin tidak memberi Umno dan PAS portfolio yang berurusan terus dengan rakyat seperti pertanian dan pembangunan luar bandar.

Seorang daripada mereka, Ahli Majlis Tertinggi Tajuddin Abdul Rahman, yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, malah berkata kalau beginilah keadaannya lebih baik Parlimen dibubar untuk pilihan raya semula.

Muhyiddin setakat ini belum lagi menjawab pandangan dan bantahan pemimpin Umno ini. Sidang media terakhirnya ialah pada Selasa lalu, selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama.

Menurut Khir, Kabinet Muhyiddin Kabinet hadiah kerana semua ahli Parlimen bekas PKR yang dilaporkan menyertai Bersatu, diketuai Mohamed Azmin Ali, dapat jawatan.

“Malah Azmin Ali mendapat jawatan menteri kanan dan bertaraf timbalan perdana menteri,” katanya.

Azmin dilantik sebagai seorang daripada empat menteri kanan, memegang portfolio perdagangan antarabangsa dan industri. 

Selepas mesyuarat Kabinet yang pertama kelmarin, Muhyiddin menjelaskan kedudukan menteri kanan dengan keutamaan pada Azmin mempengerusikannya sekiranya perdana menteri tiada.

Muhyiddin Yassin pada Rabu menjelaskan kepada media mengenai kedudukan menteri kanan dengan keutamaan pada Mohamed Azmin Ali mempengerusikan mesyuarat Kabinet sekiranya perdana menteri tiada. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2020.

Khir juga berkata kumpulan ahli Parlimen bekas Umno yang menyertai Bersatu juga dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri, sementara ahli Parlimen Bersatu yang mengkhianati Dr Mahathir Mohamad juga mendapat jawatan.

“Nampak jelas PM kita amat menghargai orang yang tidak setia dan suka melompat,” katanya.

Khir berpendapat, jemaah menteri Muhyiddin ini akan menguatkan Bersatu dan memastikan parti itu dapat menembusi kubu kuat Umno dan PAS terutama di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

Khir merujuk pada portfolio pertanian, luar bandar, wanita, ekonomi dan pendidikan yang diberikan kepada ahli Parlimen Bersatu.

Beliau menyifatkan portfolio yang diberi kepada Umno dan PAS adalah kementerian yang tidak berhubung terus dengan rakyat, termasuk portfolio sains, teknologi dan alam sekitar yang dipecah kepada tiga kementerian.

“Saya pasti strategi ini akan melemahkan kekuatan Umno dan Pas dalam jangka waktu yang singkat,” tambahnya, yang menyifatkan keadaan ini seperti “ada racun dalam madu”.

“Nak dibuang madu, sayang juga. Nak diluah terasa sedap, tak rasa pula racunnya.

Apapun, kesan minum madu beracun ini pasti ada. Yang pastinya, tidak ada ubat yang mampu menyembuhkan jika sudah terlalu banyak racun dalam badan,” katanya. – 13 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen