Pemimpin tiba di Istana Negara


Mohd Farhan Darwis Ravin Palanisamy

Konvoi pemimpin yang menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara bagi menyatakan sokongan mereka kepada calon perdana menteri berkenaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 29 Februari, 2020.

PEMIMPIN yang menyokong Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara bagi menyatakan sokongan mereka terhadap Presiden Bersatu itu sebagai calon perdana menteri kepada Yang di-pertuan Agong.

Konvoi beberapa kenderaan bewarna hitam tiba sebelum jam 10 pagi membawa Muhyiddin, Mohamed Azmin Ali, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa. 

Pemimpin yang sama juga dilihat meninggalkan Istana Negara pada jam 10.40 pagi.

Turut kelihatan dalam kalangan mereka ialah ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) Fadilah Yusof dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin memberitahu pemberita:”Kami akan kembali esok,”.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memanggil pemimpin parti untuk menamakan calon perdana menteri mereka, namun selepas temuramah peribadinya dengan ahli Parlimen tidak menemukan calon dengan jumlah majoriti tetap.

Dalam tempoh 24 jam lalu, berlaku perebutan jawatan dari Muhyiddin dan Anwar Ibrahim kepada Muhyiddin dan Dr Mahathir Mohamad pagi ini.

Sehingga hari ini Muhyiddin yakin dengan sokongan 97 ahli Parlimen.

Ia termasuk 36 daripada Bersatu terdiri daripada bekas ahli Parlimen PKR dalam kumpulan Mohamed Azmin Ali, 39 dari Umno, 18 dari PAS, dua dari MCA, satu daripada MIC dan PBRS.

Sementara itu Presiden PKR Anwar Ibrahim mendapat sokongan 93 ahli Parlimen yang kesemuanya dari Pakatan Harapan.

Tetapi Dr Mahathir telah mengeluarkan pengumuman mengejutkan pagi tadi apabila menawarkan diri sebagai calon perdana menteri sekali lagi dalam pertemuan bersama pemimpin Pakatan Harapan.

Dr Mahathir berkata beliau tidak pernah menandatangani sebarang pengisytiharan berkanun yang menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri dan menyampaikannya kepada ahli Parlimen Bersatu.

Pada masa sama PH juga mengeluarkan kenyataan pagi ini bahawa mereka kembali memberikan sokongan kepada Dr Mahathir.

Gabungan Parti Sarawak, yang mempunyai 18 ahli Parlimen mengumumkan pendirian mereka hari ini manakala sembilan ahli Parlimen Parti Warisan Sabah dan Upko yang sebelum ini bergabung dengan kerajaan PH yang lama masih belum menjelaskan mengenai perkembangan baru ini. – 29 Februari, 2020.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen