Dr Mahathir kembali, Pakatan umum sokong beliau calon PM


Dr Mahathir Mohamad menawarkan dirinya sebagai calon untuk perdana menteri sekali lagi susulan pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan pagi ini. – Gambar Facebook, 29 Februari, 2020.

DR Mahathir Mohamad menawarkan diri jadi calon perdana menteri sekali lagi dan yakin beliau ada sokongan yang cukup untuk mengetuai kerajaan.

Serentak itu, Pakatan Harapan, yang sebelum ini menamakan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri, mengumumkan sokongan penuh kepada Dr Mahathir.

“Saya sekarang yakin saya mempunyai sokongan yang diperlukan untuk mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Oleh itu, saya sedia dipertimbangkan sebagai calon perdana menteri.

“Keputusan ini akan disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Mahathir membuat kenyataan itu selepas bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan pagi ini.

Tambah Dr Mahathir, beliau akan bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan pagi ini.

Awal minggu ini, Seri Paduka menerima peletakan jawatan Dr Mahathir namun kemudian melantiknya semula sebagai perdana menteri sementara, menunggu seorang perdana menteri dipilih. 

Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan ini ketika ahli Parlimen Bersatu, parti yang beliau pengerusikan, memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Muar Muhyiddin Yassin, yang juga presiden parti.

Setakat semalam, Muhyiddin mendapat sokongan daripada Umno dan Barisan Nasional, serta PAS dan PBRS.

Menurut Dr Mahathir, beliau tidak dapat bekerjasama dengan mereka yang diketahui korup, yang sebelum ini dilawan oleh Pakatan Harapan.

“Saya menentang apa saja bentuk kerjasama dengan individu yang diketahui korup dan merupakan sebahagian daripada pentadbiran kleptokratik yang kerajaan Pakatan Harapan berusaha keras untuk singkirkan,” katanya.

Beliau juga mengulangi kenyataan seperti dalam ucapannya beberapa hari lalu, menolak menerima Umno keseluruhannya kerana tidak sedia untuk bekerjasama dengan pemimpin yang korup.

“Saya boleh terima mereka secara individu selagi mereka terbukti bersih. 

“Mungkin Tan Sri Muhyiddin lebih terbuka dengan pendekatan ini (bekerjasama dengan Umno secara keseluruhan),” katanya.

Jelas Dr Mahathir, pendiriannya itu beliau sampaikan dalam mesyuarat ahli Parlimen Bersatu semalam.

Beliau juga meninggalkan mesyuarat lebih awal untuk membolehkan mereka terus berbincang.

“Saya tidak tandatangan sebarang akuan bersumpah menyokong mana-mana individu,” katanya. – 29 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen