Kenapa Pakatan sokong Dr Mahathir?


Perkembangan terbaru ini kini menjadikan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sekali lagi menjadi perhatian selepas semalam mengatakan bahawa semua 36 ahli Parlimen Bersatu menyokong presiden dan bukan pengerusi Dr Mahathir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Februari, 2020.

PAKATAN Harapan kini kembali menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri untuk mempertahankan perjuangan meneruskan agenda reformasi sejak pilihan raya umum Mei 2018.

Untuk itu, tiga parti – DAP, PKR, dan Amanah – yang sebelum ini menyokong Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri kini mengalihkan sokongan kepada Dr Mahathir.

“Pakatan Harapan merupakan gabungan yang telah mendapat mandat jelas pada PRU14. 

“Pakatan Harapan bertegas menentang sebarang usaha ‘kerajaan pintu belakang’ terutama yang melibatkan kleptokrat dan pengkhianat perjuangan, yang akan merosakkan segala usaha reformasi yang telah dilaksana hingga kini. 

“Oleh itu, demi mempertahan perjuangan, Pakatan Harapan menyatakan sokongan penuh terhadap YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri,” kata Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan serentak dengan pengumuman Dr Mahathir yang beliau tidak dapat menyokong Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri seperti ahli Parlimen Bersatu yang lain.

“Pakatan Harapan berpegang teguh kepada prinsip dan akan terus memperjuang manifesto Pakatan Harapan dalam kerajaan,” tambah kenyataan itu.

Kejutan terkini pergelutan politik negara kini sekali lagi menempatkan Dr Mahathir di kerusi utama dalam peranannya sebagai perdana menteri.

Perkembangan terbaru ini kini menjadikan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sekali lagi menjadi perhatian selepas semalam mengatakan bahawa semua 36 ahli Parlimen Bersatu menyokong presiden dan bukan pengerusi Dr Mahathir.

Muhyiddin, yang disokong Barisan Nasional (42), PAS (18), dan PBRS (1) pada mulanya merancang untuk pergi ke Istana Negara bagi bertemu dengan Yang Di-Pertuan Agong.

Semalam, kumpulan ahli Parlimen Umno, PAS dan Warisan dilihat bekumpul di rumah Muhyiddin kerana meraikan kerajaan yang terdiri daripada Bersatu, BN, PAS dan PBRS.

Muhyiddin dijangka mendahului calon PM Pakatan Harapan Anwar Ibrahim dengan 94-92 undian.

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman menegaskan sesuatu yang tidak dijangka pagi ini ketika beliau menyiarkan video pada pukul 8.02 pagi mengatakan bahawa beliau tidak akan bekerja dengan mereka yang terpalit dengan isu rasuah.

Beliau kemudian memberitahu wartawan dalam kumpulan WhatsApp bahawa beliau tidak menandatangani sebarang sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri. – 29 Februari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen