Apa pun hebohnya jangan lupakan Orang Asli


Zainal Rashid Ahmad

APABILA The Malaysian Insight (TMI) menyiarkan banyak kisah mengenai Orang Asli – ia sangat menyentuh hati. Saya mengucapkan terima kasih, tahniah dan solidariti pada portal ini dalam memperjuangkan nasib Orang Asli.

Laporan berita foto SC Shekar “Orang Asli terpinggir di negara sendiri” pada 14 Februari lalu, mengenai nasib Orang Asli suku Jakun di Bukit Ibam, Bandar Muazam sungguh menyentuh rasa.

Sekali gus melupuskan mood Hari Valentine yang sudah diabaikan orang Malaysia kerana dianggap tidak lagi relevan.

Foto-foto Shekar mengenai nasib 60 keluarga suku Jakun di Pahang mendedahkan realiti yang disembunyikan lensa kamera dan minda wartawan.

Kisah manusia yang terpinggir dan terpaksa hidup bergelumang mencari rezeki di tapak pelupusan sampah. Ini pendedahan yang mencabar naluri kemanusiaan.

Shekar merakamkan episod duka melalui foto-foto hitam putihnya; satu rakaman targik dalam perjalanan menyiapkan buku terbaru Rivers Of Malaysia.

Shekar melalui foto seninya menghantar isyarat melangkaui nilai estetika. Dokufoto mengenai nasib suku Jakun di Bukit Ibam melemparkan satu persoalan: Betapa tragisnya Malaysia.

Orang Asli ialah kata generik Bahasa Melayu. Istilah rasmi di negara ini merujuk kepada orang asal yang menduduki Semenanjung Tanah Melayu.

Ada 18 suku dari etnik Orang Asli dengan tiga kumpulan utama berdasarkan asal-usul.

Suku Negrito mendiami bahagian utara Semenanjung, Senoi di bahagian tengah dan Melayu Asli di selatan.

Secara populasi terdapat 150,000 Orang Asli di negara ini. Secara geografi pula, taburannya di sekitar kawasan hutan di kaki Banjaran Titiwangsa.

Banyak perjuangan dilakukan dalam membela Orang Asli. Malah, Siti Kasim ikut berjuang dalam soal nasib Orang Asli. Walaupun kelibat aktivis ini lebih kerap dikaitkan dengan agenda liberal.

Pada 16 Oktober, 2016 Siti Kasim turun ke Gua Musang, Kelantan. Berimej topi koboi dan berkaca mata serta pakaian serba hitam – suaranya lantang mempertikaikan sekatan jalan terhadap penduduk Orang Asli.

Siti Kasim tanpa gentar mendepani pihak berkuasa yang dianggapnya sengaja mendikriminasi hak Orang Asli suku Temiar di Gua Musang.

“Ini jalan raya yang dibuat pembalak haram dan membolehkan orang masuk. Kalau awak boleh membenarkan pembalak gunakan, kenapa awak tidak benarkan Orang Asli gunakan,” protes Siti Kasim di lokasi.

Pada 16 Ogos, 2018 TMI menyiarkan kenyataan keras Siti Kasim terhadap perlakuan kerajaan negeri Kelantan yang didakwa merampas tanah adat Orang Asli sejak merdeka.

Siti Kasim kekal vokal sebagai ketua Jawatankuasa Orang Asli Majlis Peguam Malaysia.

Laporan Shekar dan cerita Siti Kasim hanya dua petikan. Puluhan aktivis berjuang sejak dulu hingga sekarang.

Terbaru, TMI pada 24 Februari melaporkan keluhan Orang Asli yang mendiami kawasan di sekitar Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Satu lagi insiden tragik apabila petempatan mereka akan dimusnahkan bagi memberi laluan kepada pembangunan.

Itu layanan yang diterima Orang Asli sejak merdeka. Epik yang tragik kerana hidup dengan sindrom menerima notis dan diarah patuh untuk berpindah.

Sistem yang menjadikan nasib Orang Asli seperti warganegara tanpa hak di negara ini.

Kes terbaru di Kuala Langat menjejaskan 2,000 Orang Asli dari empat perkampungan. Seperti selalu, Orang Asli tetap bangkit berjuang.

“Jika hutan ini mati, masa depan anak-anak kami akan suram,” kata Tok Batin Kampung Pulau Kempas, Raman Pahat.

Orang Asli sentiasa berjuang mempertahankan hak mereka. Malah, sentiasa dibela aktivis kemanusiaan dan alam sekitar. Cuma, suara pembelaan jarang berakhir dengan kejayaan.

Dr Balu Perumal dan perjalanan Sungkai ke Slim River

Pada April 1995, saya menyertai perjalanan berdua bersama Pengarah Konservasi World Wildlife Fund and Nature (WWF), Dr Balu Perumal.

Kami merentas penempatan Orang Asli dari Sungkai ke Slim River.

Dr Balu mengajak saya menjejak kehidupan kampung demi kampung masyarakat Orang Asli di Banjaran Titiwangsa.

Sebagai pegawai kanan WWF, Dr Balu menjalankan kajian mengenai perkembangan alam sekitar dan impak pembangunan bagi laporan kerjanya.

Kami melihat kesan pembangunan di sekitar kaki banjaran dan serta kehidupan petempatan masyarakat Orang Asli.

Dr Balu menjelajah pos petempatan kekal yang didiami Orang Asli serta petempatan nomad suku Temiar.

“Akan ada impak pada setiap masa terutama apabila pembangunan menyerap sampai ke kawasan kaki banjaran. Orang Asli paling terkesan apabila hutan diteroka,” katanya.

Dr Balu menemubual masyarakat Orang Asli; mengumpul data dan maklumat serta merakamkan foto-foto persekitaran hutan.

“Apabila hutan diteroka, alam sekitar dan haiwan menjadi mangsa. Orang Asli paling terkesan,” katanya.

Kami bergerak menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Namun, lebih banyak berjalan kaki meredah belukar dan hutan mencari petempatan nomad suku Temiar.

Walaupun 25 tahun sudah pengalaman itu berlalu, saya sentiasa mengingati karektor Dr Balu. Sebagai aktivis muda WWF serta disiplin tingginya dalam soal alam sekitar, dia peka dengan nasib masyarakat Orang Asli.

Saya mengingati momen bersama Dr Balu walaupun itulah kali pertama dan terakhir kami bertemu dan menyertai perjalanan yang meletihkan bagi wartawan baru.

Saya tidak terlatih dengan semangat mencintai hutan dan haiwan.

“Jangan lupa roti dan rokok, Orang Asli suka tembakau. Anak-anak kecil suka gula-gula. Tapi bawa banyak roti sebab itu makanan yang lebih mengenyangkan mereka,” katanya.

Saya tidak faham sepenuhnya. Tetapi mustahil saya tidak mengerti. Paling tidak saya tahu – rokok dan tembakau ialah buah tangan. Roti ialah makanan untuk anak-anak Orang Asli bagi menggembirakan mereka.

Kami berjalan merentas penempatan di Sungai Sinju, Kampung Pawong, Kampung Tibang Slim, Kampung Tibang dan Kampung Kuala Bil.

Namun, ingatan paling mengesankan tentunya pada penempatan nomad suku Temiar yang. Sekitar lima perkampungan kecil kami lawati. Tiap kampung nomad didiami kurang sepuluh keluarga.

“Di sini makanan sangat berharga. Orang nomad hidup susah,” kata Dr Balu.

Dibuli dan petai dirampas

Sampai di satu penempatan kecil setelah kami berjalan hampir 4km meredah belukar di hujung ladang sawit, wujud kampung kecil penempatan nomad.

Suasana sangat suram dengan suasana hutan yang kelam selepas semalaman dilanda hujan lebat.

Ringkasnya, penduduk sedang kelaparan. Musim hujan menyebabkan suku Temiar nomad ini tidak dapat masuk ke hutan mencari rotan.

Walaupun saya nampak di laluan masuk dipenuhi susunan ikatan rotan panjang yang baru dikutip dari hutan.

“Sudah seminggu tidak ada orang masuk beli rotan,” kata ketua kampung.

Orangnya kurus kering; mengenakan seluar pendek lusuh dan kemeja putih kusam yang koyak-rabak.

Lelaki yang mengaku ketua kampung ini menunjukkan ke arah timbunan rotan yang turut bersusun di tepi rumahnya.

“Tanah becak, kenderaan tak boleh masuk. Kami tak dapat jual rotan. Jadi tak ada wang beli makanan,” ceritanya lagi.

Ada sekitar 10 rumah; diperbuat daripada dahan kayu dan bumbungnya susunan daun-daun hutan. Rumah kecil ini berlantaikan buluh.

“Berapa dapat kalau jual semua rotan ini?,” tanya saya.

“Boleh dapat RM50 ke RM60,” jawab ketua kampung.

Saya benar-benar terkejut. Timbunan rotan hanya semurah itu?

Apa yang nak dimakan 10 keluarga dengan hasil jualan RM50?

“RM50?,” tanya saya terkejut.

Ketua kampung anggukkan kepala.

Kami berjalan masuk dan duduk di dan anak-anak memerhatikan kami dari beranda pondok.

Mata yang suram dan jelas kelihatan wajah yang lapar.

“Keluarkan roti,” kata Dr Balu.

Saya menurunkan beg galas dan mengeluarkan roti.

Ketua kampung melaungkan sesuatu dalam bahasa suku. Isyarat memanggil anak-anak turun mengambil roti.

Roti dibagi-bagikan. Dr Balu membuka beg galasnya - mengeluarkan gula-gula dan biskut.

Itu momen yang sentiasa kekal dalam ingatan saya. Tiada bezanya setiap kenangan tatkala melihat kanak-kanak kelaparan.

Kelaparan kanak-kanak bahasa duka dunia

Sama ada di kampung Orang Asli di Slim River, atau di Paro, Aceh (ketika tsunami 2004), atau di kem pelarian Somalia di Kebrebaya Ethiopia, atau anak-anak Gipsi yang kelaparan dan diserang selesama teruk ketika musim sejuk di Kosovo – semuanya sama.

Kelaparan kanak-kanak hanya memiliki satu bahasa di dunia – kesedihan yang melukakan hati kita sebagai manusia.

Kami tinggalkan kampung kecil suku nomad Temiar. Perjalanan diteruskan.

Satu demi satu kampung nomad dijelajahi. Suasananya sama. Musim hujan dan hasil hutan gagal dijual. Laluan tanah yang becak dan licin menyebabkan pembeli hasil hutan enggan meredah bahaya.

“Semalam saya kena pukul dengan orang kampung Melayu sebab memanjat petai,” kata seorang lelaki Orang Asli yang ditemui di kampung nomad.

“Kenapa?,” tanya saya.

“Saya panjat pokok petai, mereka jerit suruh turun. Saya turun dan terus dipukul. Mereka kata itu petai mereka sedangkan bertahun-tahun kami ambil petai sebab kawasan itu dalam tanah rezab kami,” katanya sedih.

Isu orang Melayu (maksud saya samseng Melayu) merampas hak pokok petai dan sarang madu lebah di tanah rezab Orang Asli bukan isu baharu.

Pembulian yang saya saksikan sejak 1995 berlaku hingga sekarang.

Perjalanan dari Slim River ke Sungkai satu pengalaman awal sebagai wartawan dan berada dalam kitaran hidup Orang Asli.

Pengalaman yang menyebabkan wujud stigma terhadap layanan kerajaan kepada Orang Asli.

Hingga sekarang sedihnya pelbagai bahan berita terus mendedahkan kes-kes penindasan terhadap Orang Asli.

Segala alasan diciptakan untuk menghalalkan tindakan merampas tanah Orang Asli.

Seakan-akan Orang Asli sama seperti haiwan di hutan. Suara mereka tidak perlu diendahkan! – 26 Februari, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen