AHLI Majlis Peguam, Siti Kasim mendakwa, kerajaan negeri Kelantan mengambil alih tanah adat Orang Asli dan menjadikannya milik kerajaan secara senyap-senyap sejak selepas kemerdekaan negara.
Dakwaan pengerusi jawatankuasa hak Orang Asli Majlis Peguam itu bagi mencabar sikap kerajaan negeri pimpinan PAS yang masih enggan mengiktiraf tuntutan suku Temiar ke atas tanah adat di pedalaman Gua Musang.
Walhal, kawasan tanah sekitar di hulu Kelantan itu telahpun diiktiraf oleh mahkamah, kata Siti.
Jelasnya, tuntutan itu adalah berdasarkan peta lama yang diberikan kerajaan penjajah British kepada tok batin Orang Asli itu untuk menunjukkan sempadan kawasan milik suku Temiar itu.
“Pihak kami mempunyai peta-peta lama daripada kerajaan British yang diberikan kepada tok-tok batin menunjukkan kawasan itu tanah Orang Asli yang dikenali sebagai (orang) Sakai. Kawasan itu maknanya untuk kaum Orang Asli.
“Apabila kerajaan negeri masuk, mereka mengambil alih tanah tersebut secara senyap-senyap lalu menjadikannya sebagai tanah kerajaan dan dirizabkan untuk kaum Melayu,” kata Siti ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Masyarakat Temiar di kawasan hutan simpan Balah itu juga bergeser dengan kumpulan pembalak dan peladang yang didakwa menceroboh dan memusnahkan kawasan hutan di tanah adat mereka.
Warga Temiar itu membina sekatan di jalan balak di kawasan hutan simpan Balah dan Perias sejak Februari untuk menyekat peladang dan pembalak tersebut memasuki kawasan tersebut.

Namun bekas exco kerajaan Kelantan Takiyuddin Hassan mendakwa pengusaha tersebut mendapat kebenaran dan permit pembalakan oleh jabatan perhutanan dan tanah berkenaan juga dakwanya milik kerajaan negeri.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga mendakwa, kawasan tanah adat Orang Asli juga tidak wujud mengikut undang-undang tanah Kelantan kerana tidak diwartakan.
Mengulas dakwaan itu, Siti berkata, kenyataan Takiyuddin bertentangan dengan keputusan mahkamah yang mengiktiraf tanah adat Orang Asli di Pos Belatim dan Pos Balar di Gua Musang.
“Tetapi, bagi Pos Balar, kerajaan negeri meminta tuntutan itu tidak diperbahaskan dalam mahkamah dan Orang Asli bersetuju untuk menerima tiga perempat daripada tanah yang dituntut,” tambahnya.
Beliau berkata, keputusan itu menujukkan masyarakat Orang Asli lebih bertoleransi berbanding kerajaan negeri Kelantan.
Beliau turut menggesa, kerajaan persekutuan mengeluarkan arahan untuk menghentikan aktiviti pembalakan dan pertanian serta-merta sementara menunggu proses rundingan dimulakan.

Kerajaan persekutuan pada minggu lalu memberi jaminan akan memulakan rundingan dengan Orang Asli dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan pertindihan tuntuan itu.
Jaminan itu dibuat selepas pertemuan sekumpulan aktivis Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Ia bagi mendesak kerajaan persekutuan campur tangan dalam tuntutan mereka ke atas tanah tersebut sejak beberapa tahun lalu selepas gagal mendapat kerjasama kerajaan negeri Kelantan.
Sementara itu, bekas pengerusi jawatankuasa hak Orang Asli Badan Peguam Hon Kai Ping berkata masyarakat Orang Asli berhak menuntut tanah tersebut ia diwartakan sebagai hak kerajaan negeri.
Jelasnya, hanya pihak mahkamah yang mempunyai kuasa menentukan tanah itu adalah tanah adat Orang Asli ataupun tidak.
“Mereka mesti menuntut dengan membuktikan, mereka telah menduduki kawasan tersebut secara turun-temurun sejak sebelum merdeka atau lebih daripada itu.
“Antara contoh (bukti) yang boleh dikemukakan kepada pihak mahkamah ialah kawasan perkuburan, tanaman, malah sungai dan gunung-ganang yang mempunyai nama daripada nenek moyang mereka,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Beliau turut mengulas dakwaan bahawa masyarakat Orang Asli tersebut telahpun diberikan kawasan tanah rayau meliputi belasan ekar untuk aktiviti tanaman, ternakan dan perkampungan.
Mengulas perkara itu, Hon Kai Ping berkata kawasan tanah rayau adalah bergantung kepada pemetaan yang dilakukan Orang Asli, bukan ditentukan oleh mana-mana pihak.
“Sebelum membuat tuntutan tanah, masyarakat Orang Asli sendiri akan melakukan pemetaan dengan menggunakan teknologi GPS. Kemudian, barulah mereka boleh menuntut kawasan itu di mahkamah,” jelasnya. – 16 Ogos, 2018.
Komen