Orang Asli terpinggir di negara sendiri


SEJAK ratusan tahun, Orang Asli berkeliaran di dalam hutan Semenanjung Melayu yang mempunyai segala diperlukan untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Arus kemodenan yang menyusup masuk, mengubah hutan menjadi kampung yang kemudiannya berkembang menjadi bandar, memaksa Orang Asli membawa diri lebih jauh ke dalam hutan.

Bagaimanapun, bagi satu suku Jakun di Pahang, hutan yang dahulunya sumber mata pencarian mereka kini adalah tapak pembuangan sampah, kawasan berbau dengan pelbagai barangan kitar semula di samping sampah berbahaya yang dibuang di situ. 

Sebanyak 60 keluarga, termasuk kanak-kanak yang berusia seawal dua tahun, bekerja di tapak pelupusan di Bukit Ibam, dekat Muadzam Shah, tanpa menyedari bahaya bahan kimia yang tidak diketahui atau serpihan kaca yang mungkin ada di antara ribuan tan sampah.

Inilah pemandangan yang dilihat oleh wartawan foto S.C. Shekar ketika beliau berkunjung ke sana bagi tujuan kajian buku terbarunya, “Rivers of Malaysia”, dan mendokumentasikan kehidupan Orang Asli di situ setahun yang lalu.

“Kebanyakan komuniti ini berpindah dari tanah nenek moyang asal dalam hutan kerana aktiviti pembalakan dan perlombongan.

“Dengan sumber utama makanan dan air tercemar oleh semua aktiviti ini, berlaku penghijrahan besar Orang Asli ke pinggir hutan berhampiran bandar di mana mereka bergelut untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat arus perdana,” kata Shekar dalam satu surat terbuka kepada rakannya baru-baru ini.

Kumpulan di Bukit Ibam berjumlah kira-kira 250 lelaki, wanita dan kanak-kanak yang terpaksa bekerja mengasingkan sampah sebagai sumber pendapatan.

“Seluruh keluarga berpindah berhampiran tapak pelupusan sampah untuk mengasingkan barangan kitar semula yang kemudiannya dijual kepada peniaga dengan harga murah, yang tidak cukup untuk diri sendiri apatah lagi keluarga mereka.

“Apa yang lebih teruk lagi ialah kanak-kanak berusia dua hingga 15 tahun juga diajar untuk mengutip dan memilih sampah dengan keluarga mereka,” kata Shekar, sambil menambah kanak-kanak ini tidak bersekolah, memperoleh nutrisi yang cukup atau bantuan perubatan.

“Tidak diketahui berapa ramai daripada kanak-kanak ini yang diberi vaksin.”

Kanak-kanak menganggap tapak pelupusan sebagai taman permainan dan berjalan dengan kaki ayam di antara longgokan sampah dan sering cedera disebabkan kaca pecah, tin berkarat dan benda tajam yang lain.

“Saya sendiri melihat sisa perubatan berbahaya seperti jarum suntikan dan barangan lain yang tercemar oleh darah juga. Seperti yang anda mungkin bayangkan, tiada air minuman atau air untuk mencuci diri dengan sempurna setiap hari.”

Setelah mengambil gambar suku kaum ini tahun lalu, Shekar berkata keadaan menyedihkan dan menghubungi beberapa kawan dan kerajaan untuk menyelesaikan perkara ini.

“Perlu diingatkan yang mereka ini adalah rakyat Malaysia dan bertentangan dengan apa yang dikatakan oleh kerajaan, kemiskinan tegar masih wujud di negara kita.” – 14 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen