HIPOKRIT, oportunis dan pelik merupakan antara sifat yang dilabel pemimpin Pakatan Harapan kepada PAS mengenai langkah parti Islam itu untuk mengemukakan usul menyokong Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Menurut mereka PAS hipokrit kerana walaupun mendakwa memberi sokongan terhadap Dr Mahathir, mereka masih berkempen menentang kerajaan PH dan menolak dasarnya seperti Statut Rom dan pengisytiharan harta ahli parlimen.
PAS juga oportunistik kerana ia merasakan dengan menyokong Dr Mahathir, parti itu boleh menyertai kerajaan menerusi pintu belakang.
Malah, parti Islam itu pelik kerana hampir semua demokrasi berparlimen, parti pembangkang membentangkan usul tidak percaya terhadap kerajaan dan perdana menteri yang memerintah.
“Saya rasa pada umumnya kita boleh katakan pendirian PAS menyokong Dr Mahathir adalah hipokrit,” kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.
“Mengapa ia hipokrit? Sekiranya mereka mahu sokong Dr Mahathir, mereka juga perlu sokong penubuhan IPCMC (Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis),” kata Santiago yang juga pemimpin DAP.
“Mereka juga perlu menyokong Icerd (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum) dan menandatangani Statut Rom,” kata Santiago mengenai dasar dan undang-undang yang dibantah PAS di Parlimen.
“Jika mereka benar-benar berminat untuk menunjukkan sokongan kepada Dr Mahathir maka mereka harus menyokong semua dasar PH. Itulah maksud sokongan.
“Sekiranya mereka menyokong Dr Mahathir adakah bermakna mereka meninggalkan Muafakat Nasional dengan Umno?”
PAS berada dalam pakatan pembangkang dipanggil Muafakat Nasional bersama parti dalam Barisan Nasional, Umno, MCA dan MIC.
__full.jpg)
Sabtu lalu, parti Islam itu mengumumkan akan mengemukakan “usul undi percaya” terhadap Dr Mahathir Mohamad pada sidang Dewan Rakyat untuk menyokong beliau kekal sebagai perdana menteri.
Usul itu menggesa Dr Mahathir terus berkhidmat sehingga habis penggal ini daripada menyerahkan kuasa kepada Anwar.
Sementara itu, Ahli Parlimen Selayang William Leong berkata, apa yang PAS mahu lakukan adalah luar biasa.
“Ia perkara paling pelik yang saya rasa tidak berlaku dalam negara demokrasi lain yang mana pembangkang mengemukakan usul menyokong kerajaan,” kata Leong yang merupakan pemimpin PKR.
“Apa yang biasa bagi pembangang adalah kemukakan usul tidak percaya.”
Leong percaya PAS tidak jujur dan parti itu hanya mencari peluang.
Ia mahu menunjukkan sokongan kepada Dr Mahathir agar perdana menteri bersetuju dengan hasrat presidennya, Abdul Hadi Awang untuk menubuhkan kerajaan yang didominasi orang Islam.
Hadi secara terbuka menyatakan beliau berminat untuk menubuhkan kerajaan yang didominasi Islam terdiri daripada PAS dan Bersatu, walaupun sudah menjalin kerjasama dengan Umno.
“Jadi nampaknya PAS agak gembira walaupun mereka mengatakan, untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan melalui pintu belakang dengan menyokong Dr Mahathir.
“Ini sangat tidak demokratik kerana rakyat tidak mengundi PAS dan Umno untuk menjadi kerajaan.
“Jadi, apa yang mereka lakukan menunjukkan bahawa mereka mahu membentuk kerajaan melalui pintu belakang.”
Tariq Mustafa Ismail, dari Bersatu bagaimanapun menjelaskan mengenai keraguan terhadap PAS.
“Ia bukan tentang kerajaan pintu belakang tetapi perpaduan dalam Parlimen untuk menyokong usul kerajaan,” kata Tariq yang merupakan ahli majlis tertinggi parti itu.
“Ia bukan tentang Anwar atau siapa yang jujur atau tidak. Politik adalah permainan angka. Terlalu banyak berpolitik dan tiada apa yang diselesaikan.” – 10 Februari, 2020.
Komen