PAS mahu mengemukakan usul undi percaya terhadap Dr Mahathir Mohamad pada sidang Dewan Rakyat untuk menyokong beliau kekal sebagai perdana menteri sehingga habis mandat pilihan raya Parlimen ke-14, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan Presiden PAS berkata pihaknya mahu membawa usul bagi menamatkan kemelut berhubung persoalan peralihan kuasa jawatan perdana menteri, yang dilihat mengganggu kestabilan politik dan ekonomi negara.
Keputusan PAS itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa pusat parti Islam itu di Kuala Lumpur hari ini.
“Mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusikan Hadi Awang memutuskan ahli Parlimen PAS akan bawa satu usul percaya kepada perdana menteri. Tapi kita akan hantar usul lebih awal supaya diterima speaker.
“Kita rasa ia satu usul yang perlu dikemuka berdasarkan kepentingan awam,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, yang menyertai sidang media sama, pula berkata PAS menggerakkan langkah itu kerana sehingga ini tiada pihak yang membawa usul tidak percaya terhadap Dr Mahathir walaupun banyak pihak mendakwa tidak puas hati dengan kepimpinannya.
“Kita digembar-gemburkan rasa tak puas hati kepada perdana menteri tapi setakat ini tidak ada usul tak percaya dibawa di Parlimen.
“Ikut proses di Parlimen, jika ada pihak yang tak puas hati dia boleh buat usul tidak percaya dan perdana menteri perlu letak jawatan atau minta nasihat pada Agong bubarkan Parlimen.
“Cuma sekarang tidak ada usul pun yang dibuat, hanya cakap kosong saja yang perdana menteri tidak ada sokongan dan pihak lain itu ada sokongan,” katanya.
Jelas Takiyuddin, dengan membawa usul percaya terhadap Dr Mahathir, semua pihak akan dapat melihat sejauh mana sokongan ahli Parlimen kepada perdana menteri.
PAS sebelum ini mengumumkan sokongan kepada Dr Mahathir untuk kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal pada 2023.
Bukan kerajaan bersama
Dalam pada itu, Takiyuddin menafikan usul percaya terhadap perdana menteri adalah sebahagian daripada langkah mewujudkan kerajaan bersama antara Bersatu, PAS dan Umno – yang dihebahkan kononnya sebagai Pakatan Nasional.
Jelas beliau, usul yang akan dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(2) itu bertujuan meredakan suasana politik berhubung peralihan kuasa jawatan perdana menteri.
“Usul ini untuk tenangkan situasi politik negara berhubung isu jawatan perdana menteri.
“Kalau tak ada usul ini isu jawatan perdana menteri tak akan selesai. Setiap bulan akan ada pihak cakap nak jadi perdana menteri.
“Kita bawa untuk wujud suasana politk negara lebih tenang dan stabil… dan perdana menteri boleh terus mentadbir negara tanpa gangguan. Kita berharap speaker boleh terima usul ini,” katanya.
Peraturan Mesyuarat 18(2) menggariskan tiga syarat yang membolehkan sesuatu usul diterima untuk dibahaskan di Dewan Rakyat, iaitu usul berkenaan adalah atas perkara tertentu, perlu disegerakan dan mempunyai kaitan dengan kepentingan orang ramai.
Ditanya apakah cadangan tersebut akan turut dibincangkan dengan Barisan Nasional, Tuan Ibrahim berkata ia “akan dimaklum dan dibincangkan kemudian”.
Umno dan PAS yang menjalin kerjasama atas nama Muafakat Nasional dijadual bermesyuarat pada Rabu ini. – 8 Februari, 2020.
Komen