Hadi sokong pakatan politik diterajui orang Islam


Malaysia perlukan pentadbiran Islam supaya tidak mengulangi kesilapan pentadbiran terdahulu, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2020.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang meluahkan sokongan kepada idea pakatan baharu bagi memastikan kerajaan diterajui orang Islam, ketika khabar angin mengenainya kencang bertiup.

Dilaporkan portal FMT, Hadi berkata negara perlukan pentadbiran Islam bagi memastikan kesilapan pentadbiran terdahulu tidak berulang.

Pemimpin PAS itu mendakwa kerajaan Pakatan Harapan sekarang dikuasai oleh orang bukan Islam sedangkan 69% penduduk Malaysia beragama Islam.

“Langkah awal kita perkenalkan Muafakat Nasional, menyatukan kuasa politik Melayu dan Islam. Ini yang paling utama. Kuasa politik Islam mesti dominasi pemerintahan kerana terdapat kecanggungan dalam Pakatan Harapan hari ini.

“PH didominasi bukan Islam sedangkan orang Islam 69% di seluruh negara, tiba-tiba mereka boleh kuasai lebih dalam kerajaan. Ia satu keperluan, tetapi perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Masalah nama tidak timbul, tetapi apa yang penting adalah konsep muafakat,” katanya dipetik berkata.

Wujud laporan yang mendakwa Umno dan PAS sedang berusaha untuk bekerjasama dengan Bersatu yang dipimpin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melalui pakatan baharu dinamakan sebagai Pakatan Nasional.

Bersatu adalah salah sebuah parti komponen PH yang turut disertai PKR, DAP dan Amanah dengan sekutu Warisan di Sabah. – 7 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen