Sokong Dr Mahathir dan Umno bukti PAS bercanggah, kata penganalisis


Sheridan Mahavera

PAS mahu bekerjasama dengan Umno tetapi pada masa sama menyokong Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2020.

TINDAKAN terbaru PAS sekali lagi menunjukkan percanggahan parti Islam itu, kata penganalisis politik.

Walaupun mendakwa menyokong kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, PAS masih terus mahu menjalinkan kerjasama politik dengan Umno yang merupakan seteru kuat Pakatan Harapan.

Penganalisis memberitahu The Malaysian Insight yang usaha terbaru PAS yang mahu membentangkan usul percaya kepada Dr Mahathir hanyalah gimik untuk kelangsungan politik mereka.

Ia juga adalah untuk mengeruhkan lagi hubungan Dr Mahathir dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang sudah dijanjikan akan diberikan kuasa pentadbiran tahun ini.

Penganalisis politik Dr Mazlan Ali berkata PAS mahu melaga-lagakan parti PH- Bersatu, PKR, DAP dan Amanah- supaya mereka bertambah lemah menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

“Jika mereka boleh menyakinkan Dr Mahathir untuk terus berkuasa melebihi dua tahun, ia akan memecah belahkan PH. Mereka tak mahu Anwar ambil alih kerana presiden PKR itu berupaya mengembalikan sokongan kepada PH.

“PAS mahu PH jadi lemah kerana ia akan memberi manfaat kepada parti pembangkang seperti mereka,” kata Mazlan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Jika PAS benar-benar menyokong Dr Mahathir, mengapa mereka berkempen menentang PH pada semua pilihan raya kecil sebelum ini?”

PAS kini menjalinkan kerjasama dengan Umno menerusi Muafakat Nasional. Umno masih menerajui Barisan Nasional yang kini terdiri daripada MCA dan MIC.

Parti Islam ultra konservatif itu berkempen menentang kerajaan PH yang diterajui Dr Mahathir, malah ia juga turut melawan kebanyakan dasar dibuat kerajaan pemerintah sekarang.

Tetapi, Sabtu lalu, ia mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan akan membentangkan “usul percaya” kepada kepimpinan Dr Mahathir pada sidang Parlimen akan datang.

PAS mahu membentangkan usul percaya kepada pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, tindakan yang dianggap penganalisis cuba menangguk air keruh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2020.

Usul itu menggesa Dr Mahathir terus berkhidmat sehingga habis penggal lima tahun dan tidak menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

Dalam perjanjian antara empat parti PH yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, mereka bersetuju sekiranya menang, Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri sebelum menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas dua tahun mentadbir.

Dr Mahathir sebelum ini berulang kali menegaskan beliau akan melunaskan janji peralihan kuasa itu walaupun mendapat desakan daripada partinya sendiri, Bersatu, untuk terus berkuasa.

Dasar canggah sendiri

Penganalisis politik Tunku Mohar Tunku Mokhtar berkata bukan hak PAS untuk menentukan bakal perdana menteri kerana ia terpulang kepada keputusan parti pemerintah.

“Orang dalam PH yang akan memutuskan siapa PM,” kata Mohar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Mereka cuba menangguk air keruh dalam PH kerana mereka tahu ada kumpulan dalam PH yang mahukan Dr Mahathir terus berkuasa.”

Profesor James Chin dari Universiti Tasmania pula berkata PAS cuba membentuk kerajaan baharu dengan memujuk Dr Mahathir terus berkuasa.

“(Presiden PAS) Abdul Hadi Awang taksub mahu menyingkirkan DAP dan Anwar daripada kerajaan dan cuba menubuhkan kerajaan Melayu sahaja atau ‘Islam dahulu’.”

Hadi secara terbuka berkata beliau berminat mahu menubuhkan kerajaan dominasi orang Islam terdiri daripada PAS, Umno dan Bersatu yang diterajui Dr Mahathir, walaupun pada masa sama PAS sudah membentuk kerjasama dengan Umno.

Pendirian politik yang bercanggah ini sering berlaku dalam kepimpinan Hadi, kata Chin.

PAS yang dipimpin Hadi Awang penuh percanggahan pendirian politik, kata penganalisis.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2020.

Sebelum ini, PAS pernah berkata mereka akan menerima orang bukan Islam sebagai warga Malaysia, kata Chin lagi.

“Tetapi, mereka juga pernah kata orang Islam adalah warga kelas pertama dan orang bukan Islam warga kelas kedua. Dalam pemikiran mereka ini bukan percanggahan kerana mereka menggunakan konsep ‘dhimmi’ untuk berbincang tentang isu bukan Islam,” tambah Chin, merujuk kepada terma digunakan untuk orang bukan Islam ketika zaman kegemilangan tamadun Islam.

PAS juga melihat Anwar sebagai ancaman kerana ahli Parlimen Port Dickson itu menerajui PKR- sebuah parti berbilang kaum yang menolak pendirian agama PAS atau nasionalisme perkauman.

“Pokok pangkalnya adalah PAS menganggap PH sebagai ‘kerajaan tak halal’ yang perlu disingkirkan dan digantikan dengan ‘kerajaan halal’ yang meletakkan semua orang Islam di jawatan utama.

“Pendek kata, PAS di bawah Hadi Awang rasis kepada orang bukan Melayu dan bukan Islam.” – 10 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen