DALAM keadaan lebih perlahan dan suasana suram, kerja di pusat khidmat Gadek dan Seremban Jaya tetap berjalan walaupun dua Adunnya ditahan kerana didakwa ada kaitan dengan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE), menerusi bantuan pegawai dan ahli keluarga dua wakil rakyat DAP itu.
Di pusat khidmat Adun Gadek G. Saminathan di Melaka, empat staf menjalankan tugas di pejabat itu sejak penahanannya 10 Oktober tahun lalu.
Setiausaha pejabat Muhammad Iftiqar Baharuddin berkata suasana kerja terus berubah tanpa kehadiran Saminathan, menyebabkan pelawat semakin berkurangan selepas penahan dan pertuduhan dikenakan terhadapnya.
Sementara itu, di Seremban Jaya, Nancy, anak perempuan kepada Adun P. Gunasekaran menguruskan pusat khidmat itu dan meneruskan operasi di kawasan DUN Negeri Sembilan itu.
“Mereka yang datang ke pusat khidmat masih bertanya bila bapa saya akan dibebaskan. Saya tidak ada jawapan. Saya harap beliau akan dibebaskan tidak lama lagi,” kata Nancy kepada The Malaysian Insight.
Saminathan, 38, dan Gunasekaran, 60, antara 12 individu yang didakwa kerana ada kaitan dengan LTTE.
Mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma).
Dua wakil rakyat DAP itu, dan kumpulan hak asasi manusia mengkritik penahanan itu sebagai intimidasi polis. Polis bertegas mengatakan mereka ada bukti transaksi kewangan membabitkan kedua-dua tertuduh yang memberi sokongan dalam cubaan menghidupkan semula LTTE.
Rabu lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan ikat jamin Saminathan, di mana hakim berkata di bawah Sosma, ikat jamin tidak dibenarkan kepada individu yang didakwa atas kesalahan keselamatan.
Hakim berkata LTTE masih disenaraikan sebagai organisasi pengganas di bawah warta kerajaan. – 14 Februari, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen