MAHKAMAH Persekutuan akan memutuskan isu keperlembagaan berhubung ikat jamin yang dinafikan terhadap tahanan dalam kes membabitkan aktiviti berkaitan dengan keganasan.
Ia susulan dua keputusan bercanggah dibuat terhadap isu itu oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini.
Pagi ini, permohonan ikat jamin dibuat oleh Adun DAP Seremban Jaya ditangguhkan selepas keperlembagaan penahannya dibawa ke Mahkamah Persekutuan.
P. Gunasekaran ditahan di penjara Sungai Buloh sejak Oktober kerana didakwa terbabit dengan aktiviti pengganas Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE).
Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) digunakan untuk menahannya dan 11 yang lain.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Muhammad Jamil Hussin pagi tadi berkata keputusannya berkenaan permohonan ikat jamin bulan lalu oleh wakil rakyat di Negeri Sembilan itu perlu ditangguhkan.
“Bagi keseragaman, perkara itu perlu dirujuk ke mahkamah lebih tinggi kerana ada dua keputusan berbeza tentang perkara itu. Saya percaya persoalan perlembagaan ada hubungan langsung dengan kes ini dan saya usulkan ia dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
“Saya juga berharap kes ini dihantar secepat mungkin,” katanya sebelum menetapkan tarikh pengurusan kes pada 13 Mac.
Gunasekaran, 60, bergari dan berkemeja T warna putih tampil tenang. Dia kelihatan memeluk ahli keluarganya dan penyokongnya sebelum dibawa pergi. Turut hadir di galeri awam di dalam mahkamah ialah veteran DAP, Lim Kit Siang.
Jamil merujuk kepada keputusan bercanggah oleh dua hakim mahkamah tinggi berkenaan permohonan ikat jamin serupa oleh suspek yang ditahan kerana ada kaitan dengan LTTE.
Pada 29 November lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Ghazali memutuskan Seksyen 13 Sosma yang melarang mahkamah mempertimbangkan ikat jamin, tidak berperlembagaan kerana ia membenarkan eksekutif untuk mengatasi kehakiman, melanggar pengasingan kuasa.
Katanya, peruntukan itu ultra vires terhadap Artikel 8 dan 121 Perlembagaan Persekutuan.
Nazlan membuat keputusan itu berkenaan cabaran undang-undang terhadap peruntukan berkenaan dibuat oleh Adun Gadek G. Saminathan.
Pada Isnin, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan ikat jamin seorang lagi tahanan yang ada kaitan dengan kes LTTE B.Subramaniam atas asalan Seksyen 13 mengikut perlembagaan dan kesalahan berkenaan keganasan di bawah Seksyen 130J Kanun Keseksaan tidak boleh dibenarkan ikat jamin.
“Amat penting untuk Mahkamah Persekutuan membuat keputusan akhir kerana ada dua keputusan bercanggah di mahkamah tinggi,” kata peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Gunasekaran, kepada wartawan hari ini. – 12 Februari, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen