PENGUNDI di kawasan dewan undangan negeri (DUN) Gadek dan Seremban Jaya berkata akan mengundi Adun mereka sekali lagi jika wakil rakyat terbabit bebas daripada dakwaan ada kaitan dengan kumpulan pengganas Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE).
Mereka berkata wakil rakyat DAP G. Saminathan dan P. Gunasekaran menunjukkan kepedulian mereka terhadap penduduk kawasan itu walaupun dalam tempoh singkat perkhidmatan mereka iaitu sejak selepas pilihan raya umum 2018 hingga ditahan Oktober tahun lalu.
Pengundi Gadek, Soon Kim Seng, 45, berkata Saminathan seorang Adun yang sangat membantu ketika berkhidmat dan turun padang untuk melawat mereka yang memerlukan.
“Beliau benar-benar membantu penduduk di sini. Saya akan sokong dia kerana dia orang DAP yang baik. Saya harap tuduhan terhadapnya akan digugurkan,” kata Soon kepada The Malaysian Insight ketika ditemui baru-baru ini.
Pesara tentera, Amin Ibrahim, 71, berkata beliau juga akan mengundi Saminathan sekali lagi jika dibebaskan dan bertanding semula.
Katanya, adun berusia 38 tahun itu menjaga kebajikan pesara tentera di kawasan itu.
“Dia ambil berat pada semua, tidak kira bangsa atau agama. Saya fikir kita tidak boleh menghakimi dia hanya kerana penahanan ini.
“Kami terkejut ketika dengar dia ditahan tetapi janganlah nilai dia berasaskan tangkapan itu. Dia patut diberi peluang buat penjelasan,” kata Amin.
Narayanaselvi Vellaisamy, 54, dari Kampung Bukit Nangka berkata Saminathan mudah didekati dan memberikan maklum balas.
Katanya, beliau tidak pernah ke pusat khidmat Adun itu tetapi dapat bertemu dengannya di tempat awam dan membangkitkan masalah perparitan di kawasan perumahannya.
“Dia terus ambil tindakan dan dalam tempoh beberapa minggu, masalah kami dapat diselesaikan,” katanya.
Staf Saminathan di pusat khidmatnya masih terus membuka dan menguruskan pejabat itu dan membantu mengendalikan aduan penduduk, kata seorang lagi pengundi, Loganathan Kulanthaivelu, 47.
“Walaupun YB tidak ada, staf ada untuk membantu menangani masalah kami. Ia ambil masa lama sikit untuk diselesaikan kerana YB tidak ada tetapi akhirnya, masalah saya dapat selesai,” kata Loganathan ketika ditemui di pusat khidmat itu, di mana beliau datang untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi keperluan sekolah anaknya.
Ahmad Imran Zamri, yang datang untuk membuat aduan tentang sampah tidak dikutip di kawasan perumahannya, berkata pegawai di pusat khidmat itu memberi respons dengan pantai terhadap aduannya.
Saminathan, 38, dan Gunasekaran, 60, antara 12 individu yang didakwa kerana ada kaitan dengan LTTE.
Mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma).
Rabu lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan ikat jamin Saminathan, di mana hakim berkata di bawah Sosma, ikat jamin tidak dibenarkan kepada individu yang didakwa atas kesalahan keselamatan.
Hakim berkata LTTE masih disenaraikan sebagai organisasi pengganas di bawah warta kerajaan. – 14 Februari, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen