Jawatankuasa bawa pulang rakyat Malaysia dari Hubei digerakkan


Chan Kok Leong

Jawatankuasa itu akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, Wisma Putra, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), MAS dan AirAsia, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Januari, 2020.

KABINET sudah menggerakkan jawatankuasa khas kemanusiaan untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Hubei, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Hubei di China adalah pusat meledaknya wabak koronavirus.

Dzulkefly menambah yang Wisma Putra juga sudah ditugaskan menentukan jumlah sebenar rakyat Malaysia di Hubei.

Jawatankuasa khas itu juga akan melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Kesihatan dan Wisma Putra, katanya pada taklimat harian wabak Novel Koronavirus (nCoV19), hari ini.

“Turut terlibat adalah syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines dan AirAsia,” kata Dzulkefly lagi.

Ditanya sama ada Putrajaya juga akan membawa pulang rakyat Malaysia yang sudah dijangkiti koronavirus dan sedang mendapat rawatan di China, Dzulkefly menjawab: “Kita masih berbincang dengan kerajaan tempatan di China.

“Kami tak boleh berikan butiran lanjut sekarang kerana perlu tunggu hasil perbincangan.”

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya akan berbincang dengan China untuk membawa pulang 78 rakyat Malaysia yang terperangkap di Hubei.

Katanya, Malaysia dalam usaha mendapatkan kebenaran China membawa pulang warganya yang tidak dijangkiti ke tanah air.

Awal hari ini, seorang lagi warga China diuji positif, menaikkan jumlah jangkitan koronavirus di Malaysia kepada lapan kes.

Pesakit kelapan itu adalah wanita berusia 49 tahun, isteri kepada pesakit ketujuh yang disahkan semalam di Johor.

Manakala terdapat 89 kes disyaki sejak 10 sehingga 29 Januari, daripada jumlah itu 44 adalah warga Malaysia, 42 (China), dan seorang warga Jordan, Brazil dan Thailand.

Daripada jumlah itu, tiga positif dan sedang dirawat dalam wad pengasingan di hospital.

Lapan puluh satu kes lagi dikesan negatif, dan lima kes lagi masih menunggu keputusan ujian. – 30 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen