Putrajaya akan bawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan


Noel Achariam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan semua rakyat Malaysia yang berada di Wuhan akan dibawa pulang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 29 Januari, 2020.

PUTRAJAYA akan mengadakan rundingan dengan China untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Wuhan, wilayah Hubei, China iaitu lokasi bermulanya wabak koronavirus, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

Pada masa ini terdapat 78 rakyat Malaysia di Wuhan dan Malaysia memohon China membenarkan mereka yang tidak sakit, untuk pulang ke tanah air.

“Mereka akan diperiksa apabila tiba di sini. Jika ada bukti mereka sakit daripada virus itu atau jika mereka berada di sana bagi tempoh lama, kami akan kuarantin sebelum membenarkan mereka pulang ke rumah,” katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Malaysia setakat ini mengesahkan tujuh kes koronavirus, di mana semua mangsa membabitkan warga China.

Tiga kes terbaru membabitkan seorang kanak-kanak empat tahun yang dirawat di wad terasing di Hospital Sultanah Maliha di Langkawi, seorang lelaki 52 tahun dirawat di Hospital Sultanah Aminah Johor Baru dan seorang wanita.

Semalam, Jabatan Perdana Menteri berkata warga China dari Hubei, termasuk ibu kotanya Wuhan, dilarang memasuki Malaysia serta-merta, tanpa mengira status visa.

Dr Mahathir juga mendedahkan terdapat rakyat Malaysia di sana yang berdepan masalah kekurangan makanan.

“Bekalan makanan di Wuhan semakin kurang (untuk mereka). Jika kita hantar pesawat untuk bawa mereka balik, kita juga akan hantar bekalan makanan, sarung tangan dan topeng muka kepada penduduk di sana.”– 29 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen