WALAUPUN berita palsu mengenai wabak kornavirus semakin tersebar di media sosial, kerajaan masih tiada hasrat menggubal akta anti berita palsu baharu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.
Menurutnya lagi, undang-undang sedia ada untuk mengekang dan menangani berita palsu sudah mencukupi.
“Kita dah mansuhkan Akta Anti Berita Tidak Benar. Setakat ini, kita sudah mempunyai undang-undang untuk tangani masalah ini.
“Soal itu (untuk gubal undang-undang baharu) tidak berbangkit. (Kerajaan) ada undang-undang sedia ada yang boleh dilaksanakan, polis pun sudah ambil tindakan,” katanya pada satu sidang media di Georgetown, Pulau Pinang.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media tentang keperluan menggubal undang-undang baharu bagi mengekang penularan berita palsu selepas beberapa siri berita palsu mengenai koronavirus tersebar luas sebelum ini.
Setakat ini, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menahan lima individu kerana disyaki menyebarkan berita palsu mengenai penularan wabak koronavirus (2019-nCoV).
Awal hari ini, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan mungkin mempertimbangkan semula pendirian akta berita palsu susulan kontroversi mengenai wabak koronavirus.
“Ia sesuatu yang kita mungkin perlu fikirkan semula, jika ada keperluan. Terpulang untuk kerajaan buat keputusan,” katanya di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, beliau menegaskan yang pihak berkuasa bertindak pantas terhadap berita palsu koronavirus menggunakan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polis sudah bertindak dengan cukup tegas,” katanya.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini turut memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu tentang wabak itu.
Gobind turut menambah, terdapat garis tipis perbezaan berita palsu dan kebebasan bersuara.
“Apabila kita bercakap tentang kebebasan media dan kewartawanan, kita harus faham tiada kebebasan mutlak.
“Perlu ada garisan yang membezakan terutama daripada segi ketenteraman awam dan keselamatan negara.
“Ada masa dalam keadaan tertentu, undang-undang perlu dipakai tetapi perkara ini biarkan polis bertindak mengikut siasatan yang dijalankan,” jelasnya. – 30 Januari, 2020.
Komen