Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menahan empat lagi individu kerana disyaki menyebarkan berita palsu mengenai penularan wabak koronavirus (2019-nCoV).
Penahanan dibuat dalam operasi berasingan oleh PDRM dan SKMM di Kedah, Pahang dan Melaka.
“Keempat-empat operasi serbuan itu telah dijalankan secara berasingan oleh PDRM dan SKMM, iaitu dua di Melaka, dan satu di Kedah dan Pahang.
“Dalam operasi yang dijalankan di antara jam 11 pagi hingga 5 petang hari ini, PDRM dan SKMM telah menahan suspek-suspek terlibat untuk merakam keterangan mereka,” kata SKMM dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, seorang tutor sambilan berumur 49 tahun ditahan di Kedah kerana disyaki telah memuat naik kandungan palsu mengenai wabak itu di Facebook pada 25 Januari lalu.
Di Melaka pula, dua pembantu farmasi masing-masing berumur 25 dan 30 tahun ditahan di Peringgit dan Merlimau, atas kesalahan sama. Kedua-dua individu terbabit memuat naik berita palsu koronavirus pada 26 Januari lalu.
Sementara itu, seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam berumur 24 tahun ditahan pada 4.15 petang tadi di Kuantan, Pahang kerana disyaki berkongsi kandungan palsu mengenai wabak itu di Twitter pada 27 Januari.
Empat telefon pintar, lima kad sim dan dua kad memori yang dipercayai digunakan untuk memuat naik maklumat palsu berkenaan koronavirus turut dirampas, kata SKMM.
Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Semalam, seorang lelaki berumur 34 tahun ditahan pada 4 petang di Bangi, Selangor kerana disyaki menyebar berita palsu wabak koronavirus.
“Suspek ditahan kerana menyebarkan maklumat palsu pada 26 Januari.
“Telefon genggam dam kad sim suspek, yang dipercayai digunakan untuk memuat naik berita palsu di Facebook juga dirampas,” kata SKMM dalam satu kenyataan pagi tadi. – 29 Januari, 2020.
Komen