PM beri amaran kepada pihak sebar berita palsu virus Wuhan


Noel Achariam

Tindakan tempat tarikan pelancongan membatalkan lawatan bukan kerana dasar kerajaan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2020.

TINDAKAN akan dikenakan terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu tentang wabak Novel Koronavirus, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata demikian ketika mengulas berita palsu bahawa ada masjid dan muzium yang tidak lagi membenarkan kemasukan pelancong bukan Islam.

“Ini (menghalang pelancong) bukan dasar kerajaan. Kita tak pernah halang sesiapa melawat (tempat ini).

“Ini dilakukan pihak tidak bertanggungjawab. Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu yang mahu mencetuskan kebencian antara kaum,” katanya di Putrajaya, hari ini.

Awal hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan penahanan seorang lelaki yang disyaki menyebarkan berita palsu mengenai wabak yang melanda dunia itu.

Kenyataan SKMM menyebut suspek berusia 34 tahun itu ditahan di Bangi, Selangor pada jam 4 petang semalam berkaitan coretan dimuat naik ke Facebook pada 26 Januari.

Polis juga sudah membuka lima kertas siasatan berkaitan penyebaran berita palsu wabak yang bermula dari Wuhan, China itu.

Dr Mahathir berkata walaupun kebebasan media diperlukan, ia perlu digunakan dengan lebih bertanggungjawab.

“Ia tidak bermakna media boleh meresahkan rakyat dan menimbulkan kemarahan masyarakat.

“Kebebasan media ada dalam negara ini. Tetapi, menyebarkan berita palsu, penipuan dan benda lain untuk timbulkan masalah tidak akan diterima.”

Katanya lagi, situasi virus itu setakat ini masih terkawal. – 29 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen