Dong Jiao Zong tetap tak mahu Jawi dalam buku teks


Diyana Ibrahim

Dong Zong berkata kegagalan kerajaan bertindak akan menyebabkan ketegangan hubungan antara rakyat dengan kerajaan dan seterusnya menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Disember, 2019.

PERTUBUHAN pendidikan Cina Dong Jiao Zong serta 17 NGO tetap berkeras agar kerajaan membatalkan pengajaran tulisan jawi dalam buku teks Bahasa Melayu untuk pelajar Tahun 4 di sekolah vernakular.

Setiausaha Agungnya Ng Chai Heng mendakwa masyarakat mahu bahan itu digugurkan dari buku teks dan mendesak kerajaan akur dengan kehendak tersebut.

Tegasnya kegagalan kerajaan bertindak demikian akan menyebabkan ketegangan hubungan antara rakyat dengan kerajaan dan seterusnya menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.

“Maka, kerajaan seharusnya menunjukkan keikhlasan dan mengambil tindakan yang wajar untuk mengubah dasar-dasar yang menimbulkan kebimbangan masyarakat.

“Demi kepentingan negara dan memelihara keharmonian masyarakat,“ katanya dalam sidang media di Kajang.

Polis semalam mendapat perintah mahkamah untuk menghalang kongres anjuran Dong Jiao Zong bagi isu tulisan jawi yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Dong Jiao Zong kemudian hari ini menggesa agar polis bertindak ke atas NGO yang mengancam untuk mengacau kongres tersebut.

Pertubuhan itu juga mahu mengadakan dialog dengan kementerian bagi menyatakan pendiriannya dalam isu Jawi.

Pendirian tersebut merupakan ketetapan yang diputuskan NGO tersebut dalam mesyuarat yang diadakan tadi, katanya.

Semalam, polis mendapat perintah mahkamah untuk menghalang kongres anjuran Dong Jiao Zong yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Perintah berkenaan menyebut, ia bagi mengelakkan berlaku rusuhan sekiranya persidangan yang dijadualkan diadakan di Dewan Kolej Universiti New Era Kajang itu tetap berlangsung.

Penganalisis berpendapat kemarahan di kalangan orang Melayu seperti itu berpunca daripada tindak-tanduk Dong Jiao Zong yang tidak menjelaskan bantahan ke atas isu tersebut sejak awal.

Namun Dong Jiao Zong menuding jari kepada Kementerian Pendidikan yang didakwa tidak menangani isu itu secara profesional.

Tiga halaman dalam buku teks yang masih menjadi kontroversi itu antaranya melibatkan pengenalan cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu, nama Bank Negara Malaysia, matawang Ringgit Malaysia dan nama negara Malaysia dalam Jawi.

Buku teks mata pelajaran Bahasa Melayu itu akan mula digunakan dalam penggal persekolahan bermula Januari. – 28 Disember, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen