DONG Jiao Zong memberi jaminan tidak akan menganjurkan persidangan baharu mengenai isu Jawi dalam buku teks sekolah dan hanya akan mengadakan dialog bersama menteri dan parti politik.
Setiausaha agungnya Ng Chai Heng berkata Dong Jiao Zong bersama 17 pertubuhan Cina lain berpendapat penganjuran dialog merupakan cara terbaik menangani isu Jawi dalam buku teks sekolah vernakular.
“Kita menyeru kementerian pendidikan mengadakan dialog bersama pertubuhan pendidikan Cina dalam masa yang terdekat untuk menyelesaikan isu pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi di SJK (sekolah jenis kebangsaan).
“Bukan saja kementerian pendidikan kita mahu juga berdialog dengan parti politik PH (Pakatan Harapan).
“Kita berpendapat isu itu boleh diselesaikan secara dialog bukan dengan konfrontasi,” katanya dalam sidang media di Kajang.
Ditanya mengenai bantahan daripada NGO Melayu yang mengancam untuk berdemo sekiranya kongres Dong Jiao Zong diteruskan, Ng berkata pertubuhan berkenaan juga dijemput ke dialog.
“Sekiranya niat mereka tidak baik kita tidak mahu, tapi kalau mereka datang secara aman dan mahu dialog, kita OK,” katanya.
Antara kumpulan Melayu yang merancang berdemi di hadapan kolej tersebut adalah Pertubuhan Angkatan Gerak Minda Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan Perkasa.

Semalam, polis mendapat perintah mahkamah untuk menghalang kongres anjuran Dong Jiao Zong yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Perintah berkenaan menyebut, ia bagi mengelakkan berlaku rusuhan sekiranya persidangan yang dijadualkan diadakan di Dewan Kolej Universiti New Era Kajang itu tetap berlangsung.
Penganalisis berpendapat kemarahan dalam kalangan orang Melayu seperti itu berpunca daripada tindak-tanduk Dong Jiao Zong yang tidak menjelaskan bantahan ke atas isu tersebut sejak awal.
Namun Dong Jiao Zong menuding jari kepada Kementerian Pendidikan yang didakwa tidak menangani isu itu secara profesional.
Ng dalam sidang media hari ini mendakwa, kementerian juga tidak menghormati Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) yang memutuskan pengenalan Jawi hanya boleh dilaksana dengan persetujuan ibu bapa, guru dan murid.
“Perbuatan ini langsung tidak menghormati hak dan kuasa Lembaga Pengelola Sekolah.
“Ini bukan sahaja menimbulkan kebimbangan masyarakat Cina, malah juga bukan langkah penyelesaian yang pragmatik terhadap isu tulisan Jawi,” katanya.
Pada masa sama, Ng mengulangi gesaan agar kerajaan membatalkan pelaksanaan tulisan jawi dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu tahun 4 di SJK.
Katanya, sekolah perlu memupuk kepelbagaian budaya dengan memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum.
“Dalam konteks ini, kementerian boleh merujuk kepada buku teks Bahasa Melayu SJK Tahun 5 yang memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum,” katanya.
Tiga halaman dalam buku teks yang masih menjadi kontroversi itu antaranya melibatkan pengenalan cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu, nama Bank Negara Malaysia, matawang Ringgit Malaysia dan nama negara Malaysia dalam Jawi.
Buku teks mata pelajaran Bahasa Melayu itu akan mula digunakan dalam penggal persekolahan bermula Januari. – 28 Disember, 2019.
Komen