PEMBAHARUAN undang-undang buruh yang diluluskan Parlimen baru-baru ini akan menjejaskan hak pekerja bagi tempoh yang lama, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Kongres yang mewakili kira-kira 220 kesatuan pekerja swasta di seluruh negara itu turut menafikan kenyataan Putrajaya bahawa mereka akan memperoleh manfaat daripada pembaharuan itu.
Ini kerana Presiden MTUC Abdul Halim Mansor berkata pembentukan kesatuan masih dikawal oleh dua undang-undang itu yang menghalang kebebasan persatuan pekerja.
Dua undang-undang itu adalah Akta Perhubung Industri 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang dipinda baru-baru ini di Dewan Rakyat dan diluluskan oleh Dewan Negara.
Malah katanya keupayaan pekerja untuk berunding bagi mencapai persetujuan bersama dengan majikan mereka akan terjejas kerana undang-undang itu akan menyebabkan wujud beberapa kesatuan dalam sesebuah syarikat, industri atau sektor.
“Kementerian Sumber Manusia berkata mereka mahu melakukan pembaharuan bagi mengesahkan Konvensyen 87 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi memberi kebebasan kepada pekerja untuk membentuk dan menyertai kesatuan atas pilihan mereka,” kata Abdul Halim kepada The Malaysian Insight.
“Namun realitinya, mereka (kementerian) hanya mengambil semangat konvensyen itu tanpa melaksanakan prinsipnya secara keseluruhan iaitu tiada campur tangan kerajaan dalam pembentukan kesatuan.
“Di Malaysia, kerajaan masih campur tangan kerana kesatuan perlu mematuhi kedua-dua syarat undang-undang ini.”
Pindaan akta tersebut diluluskan walaupun MTUC berusaha memujuk senator untuk menolak pindaan tersebut.
Antara lain, pindaan itu akan membenarkan kesatuan dibentuk dalam mana0mana syarikat atau industri dan mengehadkan campur tangan kerajaan dalam pembentukannya.
Sebagai contoh, akta yang sedia ada hanya membenarkan satu kesatuan dibentuk bagi mewakili pekerja dalam industri tertentu seperti pekerja sektor pengangkutan, pekerja kilang besi dan pekerja sektor automatif.
Pindaan tersebut akan mengeluarkan larangan pembentukan kesatuan dalam industri produk elektrik dan elektronik seperti yang termaktud sejak 1970-an.
Pindaan lain dalam dua akta ini akan mempercepatkan kes pekerja dibuang secara tidak sah dan pertikaian perjanjian di Mahkamah Industri. – 27 Disember, 2019.
Komen