Fokus pada isu gaji, bukan boikot produk bukan Islam, kata MTUC


Presiden MTUC Abdul Halim Mansor berkata kempen memboikot produk bukan Islam digerakkan atas sentimen perkauman dan agama yang tidak sihat untuk perpaduan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2019.

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa golongan pekerja tidak menyokong kempen memboikot produk bukan Islam sebaliknya memperjuangkan isu gaji dan suasana tempat kerja yang lebih baik.

Presiden MTUC Abdul Halim Mansor berkata kempen boikot itu digerakkan atas sentimen perkauman dan agama yang tidak sihat untuk perpaduan negara.

“Kami setuju dengan kumpulan yang menggalakkan produk halal buatan Muslim kerana ia selari dengan prinsip Islam. Kami terima alasan untuk menggalakkan rakyat Malaysia fokus kepada produk Bumiputera.

“Bagaimanapun, bukanlah memboikot produk tempatan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Halim juga menyelar tindakan kumpulan dan beberapa ahli politik yang “meracun fikiran pengguna”.

“Kempen seperti itu bukan hanya menjejaskan perpaduan nasional tetapi juga menyebabkan pekerja hilang pekerjaan yang melibatkan semua kaum dan agama.”

Tambah beliau, kempen boikot itu juga akan memberi kesa kepada pekerja Islamdi syarikat-syarikat bukan Islam yang mengeluarkan produk halal atau mesra Muslim.

Beliau menggesa 15 juta pekerja yang terdiri daripada berbilang kaum di negara ini memperjuangkan isu yang lebih penting seperti kadar gaji yang lebih tinggi, kebajikan dan suasana tempat kerja yang lebih baik.

“Tugas kita akan jadi lebih sukar disebabkan perkara seperti ini (boikot) kerana menjejaskan majikan.

“Oleh itu, kami berharap golongan pekerja tidak termakan dengan bermcam jenis sensasi ( pergerakan) yang kami percaya bertujuan untuk mencetus kebencian,” katannya. – 14 September, 2019.

Berita penuh di sini.            


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen