RoS larang MTUC adakan mesyuarat


Sheridan Mahavera

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dihalang mengadakan mesyuarat termasuk sidang tiga tahun sekali selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) menggantung statusnya sebagai pertubuhan sah.

RoS membuat keputusan itu susulan kegagalan MTUC mengadakan sidang Majlis Am dua bulan sekali mengikut waktu yang ditetapkan.

Ini bermakna MTUC tidak boleh mengadakan sidang Majlis Am pada 29 Disember bagi membincangkan sesi pemilihan, kata presidennya, Abdul Halim Mansor.

Abdul Halim berkata penggantungan ini bagi memberi laluan kepada RoS untuk menjalankan siasatan terhadap MTUC yang dijangka mengambil masa satu hingga dua minggu.

Katanya siasatan itu juga akan memastikan sama ada MTUC melanggar peraturannya sendiri dan sama ada ia perlu dibubarkan.

“Kita sudah merayu kepada RoS agar tidak membatalkan MTUC kerana kita merupakan institusi penting.

“Kita membincangkan semua isu pekerja dengan kerajaan, kita mewakili Malaysia pada Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan mewakili pekerja di mahkamah industri.

“Pengarah RoS tahu tentang perkara ini dan akan mengambil kiranya semasa siasatan mereka,” katanya.

“Kita meminta RoS untuk mempercepatkan siasatan mereka kerana kita mahu mengadakan sidang Majlis Am secepat mungkin supaya dapat merancang (lokasi pemilihan) majlis perwakilan.”

Jika penggantungan MTUC ditarik semula pada Januari, paling awal sesi pemilihan  itu akan diadakan pada Mac atau April kerana notis berhubung perkara itu perlu dihantar 12 minggu sebelum pengundian.

Abdul Halim berkata kepimpinan MTUC ketika ini memberi kerjasama yang baik kepada RoS berhubung isu yang menyebabkan kongres itu digantung.

Isu utama yang berbangkit termasuk dakwaan bahawa kepimpinan MTUC tidak mengadakan sidang Majlis Am setiap dua bulan mengikut perlembangaannya. – 26 Disember, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen