MTUC digantung, status wang pampasan RM1 juta jadi persoalan


Sheridan Mahavera

STATUS wang pampasan hampir sejuta ringgit yang diarahkan Mahkamah Industri untuk dibayar kepada pekerja kini menjadi tanda tanya selepas Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) digantung pendaftarannya.

Presiden MTUC Abdul Halim Mansor berkata situasi itu timbul kerana kesemua wang tersebut dimasukkan ke akaun kongres itu sebelum diagihkan kepada pekerja.

Kongres itu yang merupakan wakil pekerja sektor swasta, kebiasaannya melantik pegawai dan peguam untuk menyelesaikan pertikaian di Mahkamah Industri.

Abdul Halim berkata, pada hujung November, setiasusaha kewangan MTUC meletak jawatan tanpa sebab dan gagal dihubungi.

Katanya pegawai tersebut merupakan individu yang bertanggungjawab untuk menandatangani cek pampasan.

“Setiausaha kewangan baharu hanya boleh dilantik pada sidang Majlis Am . Tetapi disebabkan (MTUC) sudah digantung, kita tidak boleh mengadakan mesyuarat itu,” katanya.

Sidang Majlis Am merupakan badan tertinggi kongres dalam membuat keputusan dan ia melibatkan wakil daripada setiap 220 kesatuan yang bersekutu dengan MTUC.

Kesemua 220 kesatuan itu secara keseluruhannya mewakili kira-kira 400,000 pekerja di seluruh negara dalam semua sektor termasuk pembuatan, perkhidmatan dan perladangan.

Pendaftaran kongres itu digantung oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 23 Disember lalu susulan kegagalannya untuk mengadakan sidang Majlis Am setiap dua bulan mengikut waktu yang ditetapkan.

Selain itu, MTUC didakwa tidak mengemaskini penyatan kewangan secara talian untuk tahun 2017 dan 2018, serta melantik dua staf kekal secara tidak sah.

Abdul Halim berkata MTUC menjelaskan kepada RoS bahawa kepimpinan kongres itu dilarang untuk mengadakan mesyuarat agung majlis pada 2018 dan 2019 ekoran satu kes mahkamah yang melarang mereka berbuat demikian.

Katanya apabila keputusan kes itu diumumkan, MTUC mengambil keputusan untuk mengadakan sidang Majlis Am pada 29 Disember.

“Disebabkan penggantungan oleh RoS, kita tidak boleh lagi meneruskan mesyuarat itu.

“Jadi kita perlu memastikan penggantungan ini ditarik semula supaya boleh mengadakan sidang Majlis Am dan melantik setiausaha kewangan yang baharu.”

Dua lagi sebab itu turut berkait dengan keupayaan MTUC mengadakan sidang Majlis Am dan pemilihan wakil kongres yang diadakan setiap tiga tahun.

“Kita hanya menghantar penyata kewangan kepada RoS yang diluluskan Majlis Am dan perwakilan kongres. Hanya penyata 2015 dan 2016 diluluskan.

“Penyata 2017 dan 2018 masih belum diluluskan dan kita hanya boleh lakukannya apabila mengadakan sidang Majlis Am serta pemilihan perwakilan.” – 27 Disember, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen