Peguam Anwar gagal cari Yusoff Rawther


Alfian Z.M. Tahir

Anwar Ibrahim memberi tempoh 24 jam kepada bekas penyelidik Muhammed Yusoff Rawther untuk membuktikan tuduhan serangan seksual. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2019.

MUHAMMED Yusoff Rawther gagal dikesan selepas menuduh Anwar Ibrahim menyerangnya secara seksual semasa bekerja sebagai penyelidik di pejabat ahli Parlimen Port Dickson itu, kata peguam.

Peguam Ramkarpal Singh yang bertindak bagi pihak Anwar memberitahu The Malaysian Insight, surat tuntutan yang diserahkan kepada Yusoff di alamat terakhir yang diketahui di Pulau Pinang dipulangkan kerana beliau tidak lagi tinggal di situ.

“Kami tidak boleh melakukan serahan surat kerana beliau tidak tinggal di sana lagi.

“Kami tiada maklumat lain mengenainya. Kami sedang semak dengan sumber untuk mengesannya,” kata Ramkarpal.

The Malaysian Insight cuba menghubungi Yusoff melalui beberapa orang, termasuk datuk saudaranya Mohideen Abdul Kader, tetapi tidak berjaya.

Semua orang yang dihubungi ini berkata mereka tidak mempunyai nombor telefon Yusoff serta tidak tahu di mana beliau berada.

Pada Rabu, Yusoff yang bekerja di pejabat Anwar antara September 2018 hingga Mei 2019 menuduh presiden PKR melakukan serangan seksual terhadapnya di kediaman majikannya itu di Bukit Segambut, Kuala Lumpur pada 2 Oktober lalu. Tuduhan itu dibuat melalui satu akuan bersumpah

Anwar, 72, menafikan tuduhan. 

Katanya, beliau menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur pada hari didakwa kejadian selain sibuk berkempen untuk pilihan raya kecil di Port Dickson, yang berlangsung pada 13 Oktober.

Anwar juga memberi Yusoff masa 24 jam sehingga semalam untuk membuktikan tuduhan.

Pada Khamis, Mohideen berkata ahli keluarga juga tidak tahu menahu akan dakwaan salah laku seksual oleh Anwar terhadap cucunya itu.

Pada sidang media di George Town, Mohideen yang juga presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang mendakwa Yusof tersisih daripada keluarga sejak datuknya meninggal dunia awal tahun ini.

Datuknya ialah bekas presiden CAP SM Mohamed Idris yang meninggal dunia pada 17 Mei lalu.

Mohideen pernah bertanding atas tiket PKR dalam pilihan raya umum 1999. Beliau bertanding kerusi negeri di Bayan Lepas tetapi kalah. 

Ayah Yusoff, Muhammed Ali Mohd Idris bagaimanapun menafikan kenyataan Mohideen. Katanya, ahli keluarga maklum akan tuduhan yang didedahkan oleh Yusoff.

“Keluarga saya ingin menolak kenyataan dibuat oleh Encik Mohideen. Saya ingin menyatakan dan menjelaskan bahawa sebenarnya keluarga kami dimaklumkan mengenai insiden yang berlaku sama ada pada hari kejadian atau berdekatan, oleh anak saya sendiri,” kata Ali semalam.

Tuduhan terbaru terhadap Anwar ini dikatakan didalangi oleh bekas ahli PKR yang dipercayai berdendam dengan presiden.

Yusoff mahu balas dendam, kata setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, dalam satu kenyataan menafikan tuduhan terhadap ahli Parlimen itu.

Farhash yang juga ketua PKR Perak berkata Yusoff dipecat kerana masalah disiplin.

Tuduhan itu pula satu percubaan untuk “mencemarkan imej parti”, tambahnya.

Pada Ogos lalu, Yusoff mengemukakan saman mendakwa dipukul oleh Farhash di pejabat Anwar dalam satu kejadian pada Mei lalu.

Dalam kenyataannya semalam Farhash juga mendakwa Yusoff diperalatkan oleh bekas ahli PKR Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

Badrul menafikan dakwaan itu. – 7 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen