Kami tak tahu tentang serangan seksual, kata ahli keluarga Yusoff 


Bekas ahli PKR Muhammad Yusoff Rawther mendakwa seorang pemimpin parti itu telah melakukan serangan seksual terhadapnya pada tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2019.

KELUARGA Muhammad Yusoff Rawther tidak dimaklumkan mengenai dakwaan salah laku seksual yang dilakukan terhadapnya oleh pemimpin PKR pada tahun lepas, kata ahli keluarganya hari ini.

“Kejadian itu berlaku pada 2 Oktober 2018, lebih setahun lalu. Tetapi tidak ada ahli keluarga termasuk datuknya yang sangat rapat dengannya dimaklumkan mengenai insiden ini,” kata Mohideen Abdul Kader dalam satu kenyataan hari ini. 

Mohideen merupakan abang kepada aktivis arwah SM Mohamed Idris yang merupakan datuk kepada Yusoff.

Mohideen juga berkata Yusoff telah disisih keluarga sejak datuknya meninggal dunia awal tahun ini. 

Beliau menambah Yusoff juga tidak menyebut serangan seksual terhadapnya dalam laporan polis yang dibuat tahun lalu.

“Selepas lebih setahun insiden berkenaan, dan dua hari sebelum persidangan PKR, saya percaya Yusoff telah  dimanipulasi oleh beberapa ahli politik demi kepentingan mereka sendiri,” katanya. 

Terdahulu Yusoff, bekas pegawai penyelidik di pejabat presiden PKR dari September 2018 hingga Mei 2019 mendakwa ada serangan seksual dilakukan terhadapnya oleh pemimpin kanan PKR tahun lepas.

“Saya hanya boleh menyatakan perkara itu sebagai tidak bermoral, jahat, berbahaya, kejam dan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan yang dibuat dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau juga telah menggariskan butir-butir lengkap kejadian yang berlaku, dilampirkan dengan semua bukti yang diperlukan dan relevan dalam akuan berkanun (SD).

Akuan berkanun itu sedang tular di media sosial.

Ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador menolak tuduhan yang dibuat bekas ahli parti yang mendakwa menjadi mangsa jenayah “tidak bermoral dan jahat” pada tahun lepas.

Farhash dalam satu kenyataan berkata dakwaan Muhammad Yusuff adalah “usaha yang lemah untuk mencemarkan imej parti”. – 4 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen