Dakwaan salah laku seksual untuk cemarkan PKR, kata Farhash


Ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador menolak tuduhan yang dibuat bekas kakitangan parti yang mendakwa menjadi mangsa jenayah “tidak bermoral dan jahat” pada tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2019.

KETUA PKR Perak Farhash Wafa Salvador menolak tuduhan yang dibuat bekas ahli parti yang mendakwa menjadi mangsa jenayah “tidak bermoral dan jahat” pada tahun lepas.

Farhash dalam satu kenyataan berkata dakwaan Muhammad Yusuff Rawther adalah “usaha yang lemah untuk mencemarkan imej parti”.

Beliau berkata ia adalah perbuatan bekas ahli yang tidak berpuas hati kerana telah diketepikan.

“Menjelang Kongres Kebangsaan PKR yang akan datang, ia dijangka akan mewujudkan kemusnahan dan kekacauan dalam kalangan ahli,” katanya yang merupakan Setiausaha Politik Presiden PKR Anwar Ibrahim. 

Terdahulu hari ini Yusuff yang merupakan bekas pegawai penyelidik di pejabat presiden dari September 2018 hingga Mei 2019 menggambarkan ada kesalahan seksual telah dilakukan terhadapnya oleh pemimpin kanan PKR tahun lepas.

“Saya hanya boleh menerangkan perkara itu sebagai tidak bermoral, jahat, berbahaya, kejam dan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan yang dibawa dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau juga telah menggariskan butir-butir lengkap kejadian yang berlaku, dilampirkan dengan semua bukti yang diperlukan dan relevan dalam akuan berkanun (SD).

Akuan berkanun itu sedang tular di media sosial.

Yusuff berkata dia telah diserang secara fizikal oleh Farhash pada 16 Mei, berkemungkinan akibat kejadian itu.

Menurutnya beliau telah membuat laporan polis dan memfailkan saman sivil terhadap penyerangnya.

“Malangnya dan mengecewakan, pihak berkuasa gagal mengambil tindakan terhadap perkara berkenaan,” katanya. – 4 Disember, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen