Yusoff diberi 24 jam jelaskan tuduhan terhadap Anwar, kata Ramkarpal


Noel Achariam

Presiden PKR Anwar Ibrahim sekali lagi terheret kontroversi seks, yang ketiga dalam kerjaya politiknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2019.

BEKAS pekerja PKR Muhammad Yusoff Rawther diberikan tempoh 24 jam untuk menjelaskan dakwaan gangguan seksual dibuatnya terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim, kata Ramkarpal Singh.

Ramkarpal, peguam yang mewakili Anwar berkata, perkara itu dinyatakan dalam notis tuntutan dihantar kepada Yusoff hari ini.

“Kami mahu mengesahkan yang dia sudah buat akuan bersumpah (SD). Ia masih tak jelas.

“Kami beri dia 24 jam untuk sahkan. Jika gagal berbuat demikian, kami akan ambil tindakan undang-undang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Awal hari ini, Anwar menafikan tuduhan salah laku seksual dibuat Yusoff, menyifatkannya cubaan menjejaskan imejnya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah tanpa asas tersebut,” kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Yusoff mendakwa Anwar melakukan salah laku seksual terhadapnya di rumah presiden PKR itu di Bukit Segambut, tahun lepas.

Yusoff, pekerja di Pejabat Presiden PKR dari September 2018 sehingga Mei 2019, berkata beliau memperincikan kejadian itu dalam akuan bersumpah dibuatnya.

Anwar bagaimanapun berkata, pada tarikh didakwa kejadian tersebut berlaku, beliau berkempen di Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

“Saya juga menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur dan kembali semula ke Port Dickson untuk memenuhi jadual kempen,” katanya.

Beliau juga membangkitkan kenyataan keluarga Yusoff yang mempersoalkan dakwaan itu dibuat.

“Tindakan yang dilakukan ini adalah muslihat menjatuhkan imej saya menjelang Kongres Nasional Keadilan ke-14 dan proses peralihan kuasa pimpinan negara,” tambahnya.

Anwar sudah dua kali berdepan pertuduhan kesalahan liwat, pada 1998 dan 2008. Beliau menafikan dakwaan itu, menyifatkannya fitnah jahat merosakkan reputasinya.

Mahkamah Persekutuan pada 2 September 2004 membatalkan sabitan bersalah kes liwat pertama.

Dalam kes liwat kedua, Anwar diberikan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak lama selepas Pakatan Harapan berjaya merampas Putrajaya pada Mei tahun lalu, membebaskannya dari hukuman penjara yang dijalaninya sejak Februari 2015. – 5 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen