Guan Eng, Kit Siang akan bertanding pada pemilihan semula CEC


Low Han Shaun

PEMIMPIN DAP, Lima Guan Eng dan Lim Kit Siang akan bertanding pada pilihan raya semula Jawatankuasa Pemilihan Pusat (CEC) yang akan diadakan 12 November depan walaupun terdapat gesaan yang meminta mereka untuk berhenti oleh bekas ahli parti.

John Lau Tiang Hua, wakil dari sebuah firma audit bebas Grant Thornton yang berpangkalan di Amerika Syarikat berkata, mereka tidak boleh menggugurkan mana-mana nama daripada senarai calon CEC 2012 kerana ia bertentangan dengan permintaan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Grant Thornton dilantik oleh RoS untuk memantau proses pilihan raya semula CEC.

“Senarai calon tidak boleh diubah, perlu gunakan semula senarai calon asal 2012.

“Sekiranya ada nama yang digugurkan ia bertentangan dengan arahan RoS, kita tidak boleh lakukan demikian,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP hari ini.

Bekas pengerusi cawangan DAP Bagan Luar, Pulau Pinang, G. Asophan menggesa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan penasihat DAP Lim Kit Siang untuk bertanggungjawab terhadap pemilihan CEC pada 2012 dan meletakkan jawatan mereka.

Terdahulu, RoS memberitahu Grant Thornton untuk memastikan hanya 2,576 perwakilan parti yang mengundi pada 2012 dibenarkan mengambil bahagian dalam pemilihan semula itu.

Ahli CEC Anthony Loke mengulangi nasihat RoS bahawa tiada keperluan untuk memaklumkan kepada calon 10 minggu lebih awal sebagaimana yang didakwa oleh “sesetengah pihak”.

“Grant Thornton telah menghantar notis kongres khas semalam pada 25 Oktober kepada 2,576 perwakilan asal..jadi, terdapat lebih daripada 14 hari pemberitahuan sebagaimana yang disyaratkan RoS,” katanya.

Loke berkata, pemilihan semula CEC hanyalah satu agenda kongres khas.

Terdapat 62 calon untuk pemilihan pada pilihan raya semula CEC pada 12 November. Ahli DAP, perwakilan dan calon boleh melihat senarai nama calon di pautan https://dds.dapmalaysia.org.

Pertikaian berhubung pilihan raya semua parti DAP bermula selepas berlaku kesilapan teknikal yang menyebabkan penyelewengan dalam pengiraan undi pada pemilihan parti itu 15 Disember, 2012.

Walaupun kesilapan itu diperbaiki, ahli parti yang tidak berpuas hati melaporkan kepada RoS.

Ia menyebabkan RoS tidak mengiktiraf pemilihan pada 2012 dan memberi amaran akan melucutkan pendaftaram parti itu. Pemilihan semula CEC kemudian diadakan pada September 2013.

Perkara itu dikira sudah selesai sehinggalah Ketua Pengarah RoS Mohammad Razin Abdullah pada Julai berkata pelantikan ahli CEC menerusi undian pada 2013 sekali lagi adalah tidak sah.

DAP kemudiannya mengumumkan mereka akan mengadakan satu lagi pemilihan semula CEC pada 12 November di Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC) pada jam 10 pagi. – 26 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen