DAP adakan pemilihan semula CEC pada 12 November


Chan Kok Leong

Beberapa syarat dikenakan RoS dan dipatuhi DAP termasuklah melantik pihak ketiga untuk menjalankan pemilihan itu. – Gambar EPA, 30 September, 2017.

DAP akan mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) pada 12 November selepas menerima keizinan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Seorang sumber dalaman parti mengatakan surat Ro Situ diterima awal minggu ini.

“Mereka bersetuju dengan cadangan kami untuk mengadakan pemilihan semula bulan depan berdasarkan beberapa syarat,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.

Antara syarat yang ditetapkan RoS adalah untuk DAP melantik pihak ketiga melantik dan melaksanakan pemilihan itu, dan membenarkan perwakilan yang layak mengundi untuk memerika senarai perwakilan parti.

“Kami bersetuju dengan syarat itu dan akan melantik pihak bebas untuk melaksanakan pemilihan parti pada November,” kata sumber itu.

Parti itu dijangka mengumumkan tarikh pemilihan semula minggu depan.

DAP diarahkan mengadakan pemilihan semula berdasarkan senarai pewakilan yang diluluskan untuk menghadiri dan mengundi pada pemilihan CEC sebelum ini yang diadakan pada 15 Disember 2012.

Pemilihan semula diadakan pada September 2013 selepas beberapa perwakilan membuat aduan mengenai masalah pengiraan undi dalam pemilihan yang diadakan setahun sebelum itu.

Walaupun kesilapan itu akhirnya dibetulkan, ahli yang tidak berpuas hati membuat aduan kepada RoS, yang mengarahkan pemilihan semula dilakukan dan memberi amaran yang pendaftaran parti boleh dibatalkan.

Tetapi pada Julai lalu, Ketua Pengarah RoS Mohammad Razin Abdullah berkata pelantikan ahli CEC yang dilakukan pada pemilihan 2013 juga tidak sah menyebabkan pemilihan kali kedua perlu dilakukan. – 30 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen