Felda pertimbang ambil tindakan terhadap Rafizi


Yasmin Ramlan

Dakwaan Rafizi terhadap Felda akan dibawa ke mesyuarat esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2017.

FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) bakal membincangkan sama ada akan mengambil tindakan undang-undang atau tidak terhadap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dalam mesyuarat lembaga pengarahnya esok.

Pengerusi Felda Shahrir Samad berkata perkara itu akan dibincang memandangkan dakwaan Rafizi itu sesuatu yang serius.

“Esok FIC akan mengadakan mesyuarat lembaga pengarah. Secara kebetulan… bukan kerana pendedahan Rafizi.

“Saya diberitahu pengerusinya mereka (FIC) akan bincang tentang apa yang didakwa Rafizi bahawa adanya penyelewengan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Naib presiden PKR itu sebelum ini mendakwa anak syarikat FIC hanya didaftarkan pada 13 Oktober, iaitu pada hari yang sama beliau membuat pendedahan firma itu tidak memiliki hotel di London.

Namun, dakwaan itu dipertikaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Razali Ibrahim.

Sebaliknya, Razali berkata ia salinan dokumen pendaftaran syarikat yang disahkan sebagai salinan sebenar pada 13 Oktober.

Sementara itu, Razali pada sidang media bersama Shahrir berkata tindakan Rafizi itu disifatkan sebagai obses dalam membuat dakwaan terhadap FIC.

“Dia dari dulu pun banyak perkara yang dia bina sebuah andaian yang dia percaya ia adalah benar.

“Kita ambil contoh Tabung Haji. Dia bina satu cerita ada pendeposit bawa keluar duit. NFC sampai ke mahkamah, dia putuskan apa yang diceritakan itu tidak betul dan Felda, termasuk 1MDB dibina (pula) satu cerita disebabkan maklumat yang diperolehi. Sebab dia obses, sebab mungkin dia rasa dia yang terbaik dalam percukaian di negara ini,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi mendakwa pemilik hartanah di London yang dibeli Felda dikeluarkan daripada senarai syarikat berdaftar di British Virgin Island (BVI).

Beliau berkata kajiannya mendedahkan yang pemilik rasmi Hotel Grand Plaza Kensington iaitu FIC London Hotel Pte Limited sudah dikeluarkan pada 3 Mei 2016 kerana gagal membayar yuran tahunan.

Namun, dua hari selepas itu, Pengerusi FIC Syed Mohamed Syed Ibrahim mengesahkan kedua-dua syarikat iaitu Felda London Hotel (Private) Limited (FLH) dan FIC Global Limited, yang didaftarkan di BVI merupakan hak milik FIC sepenuhnya. – 24 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen