Syarikat miliki hotel Felda di London dikeluarkan daripada senarai syarikat berdaftar UK


Asila Jalil

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mengatakan kajiannya mendedahkan yang pemilik rasmi Hotel Grand Plaza Kensington iaitu FIC London Hotel Pte Limited sudah dikeluarkan daripada senarai syarikat berdaftar pada 3 Mei 2016 kerana gagal membayar yuran tahunan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2017.

PEMILIK hartanah di London yang dibeli Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dikeluarkan daripada senarai syarikat berdaftar di British Virgin Island (BVI), kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Beliau mengatakan kajiannya mendedahkan yang pemilik rasmi Hotel Grand Plaza Kensington iaitu FIC London Hotel Pte Limited sudah dikeluarkan pada 3 Mei 2016 kerana gagal membayar yuran tahunan.

Katanya juga, pemilikan dua lagi hartanah yang dibeli Felda masih tidak diketahui.

“Saya sudah melakukan pencarian rasmi dengan Pendaftar Tanah Diraja UK dan membuktikan yang pemilikan rasmi kepada (sekurang-kurangnya) dua hartanah mewah dibayar oleh Felda didaftarkan dengan nama syarikat berdaftar di BVI (British Virgin Island) yang pemiliknya masih tidak diketahu sehingga hari ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Invoke hari ini.

Dua hartanah mewah itu adalah Hotel Grand Plaza Kensington yang dibeli dengan harga
£60 juta (anggaran RM330 juta) pada 2014 dan Felda House yang dibina dengan kos dianggarkan berjumlah RM380 juta pada 2015 dan dimiliki oleh FIC Global Limited yang didaftarkan di BVI.

Ahli Parlimen Pandan Indah itu juga mengatakan beliau masih belum mendapatkan maklum balas daripada Pengerusi Felda Shahrir Samad, Perdana Menteri Najib Razak dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pendedahan itu.

“Saya menjangkakan penafian mudah yang saya tersilap kerana lebih baik membuktikan saya tersilap daripada wujud kemungkinan sekurang-kurangnya RM1 bilion dana awam dipindahkan dengan cara yang meragukan.

“Saya dengan ini meminta penjelasan penuh dari Najib dan Shahrir tentang status pelaburan Felda di Hotel Grand Plaza Kensington di London.

“Sekarang FIC London Hotel Pte Limited sudah dikeluarkan dan syarikat itu secara rasminya memegang pemilikan hotel RM330 juta dibeli Felda, apakah perancangan Felda untuk menuntut semula pemilikan hotel itu?

“Felda tidak mempunyai pilihan selain mengesan dan mendedahkan pemilik FIC London Hotel Pte Limited jika Felda mahu mempunyai peluang untuk menuntut kembali pemilikan hotel itu. Siapa di sebalik FIC London Hotel Pte Limited? Adakah Felda akan keluarkan kenyataan dalam masa terdekat bagi menjawab semua pendedahan yang saya lakukan sejak minggu lepas?” katanya.

Ahad lalu, Rafizi meminta Felda mendedahkan pemilik sebenar hartanah di London itu.

Menurut penyata kewangan terbaru Felda, hotel itu diuruskan oleh Grand Plaza Kensingfton Ltd tetapi dimiliki oleh FIC London Hotel Pte Limited.

Kedua-dua syarikat berpangkalan di UK dan dimiliki oleh anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd.

Pada Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad mengarahkan pembelian hartanah itu disiasat dan dokumen berkaitan pembelian itu dirampas. – 19 Oktober, 2017.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen