Felda mesti dedahkan siapa pemilik sebenar hotel di London, kata Rafizi


The Malaysian Insight

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli Rafizi berkata penyelidikannya sendiri ke atas anak syarikat Felda yang memiliki Grand Plaza Kensington di London memberikan hasil yang mengejutkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2017.

AHLI Parlimen Pandan Rafizi Ramli mempersoalkan status sebuah hotel yang dikatakan milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kerana kontroversi mengenai penjualannya terus menjadi persoalan.

Rafizi berkata penyelidikannya sendiri ke atas anak syarikat Felda yang memiliki Grand Plaza Kensington di London memberikan hasil yang mengejutkan.

Berdasarkan kenyataan kewangan terkini Felda, hotel itu diuruskan oleh Grand Plaza Kensington Limited, tetapi ia dimiliki FIC London Hotel (Pte) Limited.

Kedua-dua syarikat itu berpangkalan di United Kingdom (UK) tetapi dimiliki anak syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Kata Rafizi, apabila beliau cuba mencari mencari rekod-rekod FIC London Hotel (Pte) Limited di laman Companies House, iaitu direktori syarikat-syarikat UK, namun tiada apa yang ditemui.

“Sebuah syarikat yang dinyatakan di dalam penyata kewangan Felda yang diaudit dan diakui benar dan tepat maklumatnya di bawah satu perakuan sumpah dan dimaklumkan kepada seluruh dunia bahawa syarikat itulah yang memegang harta kebanggaan Felda iaitu sebuah hotel berharga RM330 juta di kawasan elit London – syarikat itu tidak wujud!”

Namun, menurut penyata kewangan Grand Plaza Kensington  Limited, ia membayar “sewa” kepada FIC Hotel (Pte) Limited, kata Rafizi.

“Sebahagian besar dari kos pentadbiran (administrative expenses) yang menyebabkan ia rugi adalah disebabkan oleh bayaran “sewa” kepada pemilik hotel itu iaitu FIC London Hotel (Pte) Limited.”

Semakan lanjut mengenai hak milik hotel menunjukkan bahawa pemilik berdaftar disenaraikan sebagai FIC London Hotel (Pte) Limited (didaftarkan di British Virgin Island), katanya.

“Hotel Grand Plaza Kensington tidak dimiliki oleh sebuah anak syarikat milik penuh Felda yang ditubuhkan di United Kingdom seperti yang diisytiharkan di dalam penyata kewangan Felda yang diaudit dalam tahun-tahun 2014 dan 2015. Syarikat itu tidak wujud langsung.

“Tiada siapa yang dapat sahkan siapa pemilik sebenar FIC London Hotel (Pte) Limited yang didaftarkan di BVI yang bukan sahaja memiliki hotel tersebut, tetapi besar kemungkinan juga mendapat bayaran sewa bulanan dan bayaran-bayaran lain sehingga menyebabkan hotel yang ada untung kasar yang besar mengalami kerugian saban tahun.”

Semalam, Felda berkata ia menerima 54 tawaran untuk membeli hotel yang dibeli dengan harga RM330 juta pada 2014.

Menurut dokumen Felda, Park City Grand Plaza Kensington merupakan sebuah hotel bertaraf empat bintang dengan 62 bilik dan dua unit pangsapuri berservis. Ini merupakan langkah pertama FIC dalam pasaran hartanah di luar negara.

Pengerusi Felda Shahrir Samad berkata beliau yakin penjualan itu akan memberi manfaat kepada Felda yang menguruskan 110,000 keluarga peneroka di seluruh negara.

Tambah beliau lagi, Felda menimbang semua tawaran yang diterima dan akan memilih yang terbaik dan paling munasabah.

Sebelum ini Shahrir menyangkal dakwaan Rafizi bahawa penjualan itu akan memnyebabkan kerugia sebanyak RM38 juta.

Shahrir dalam maklum balas mengenai perkara itu berkata pembelian hartanah Kensington sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Semua perkara berkaitan hartanah dalam siasatan dan kerana itu saya tidak akan memberikan maklum balas kepada pertanyaan awam. mengenai perkara itu.

“Saya telah berjanji yang Felda akan memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan SPRM berkaitan hartanah Kuching dan Kensington,” kata Shahrir dalam mesej pesanan ringkas kepada The Malaysian Insight.

Pada Julai lalu, SPRM mengumumkan yang ia akan memulakan siasatan ke atas pembelian hotel di London oleh London dan sebuah hotel empat bintang di Kuching.

Siasatan itu mengenai dakwaan Felda terlebih bayar dalam pembelian dua hartanah itu. – 15 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • EPF dan segala tabung harap dijaga baik baik…

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan