SPRM siasat pembelian hotel Felda di London


SPRM buka kertas siasatan berhubung pembelian hotel mewah di London oleh Felda Investment Corporation. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2017.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap Felda Investment Corporation (FIC) berhubung pembelian sebuah hotel di London.

Pembelian hotel bertaraf empat bintang yang terletak di kawasan mewah di Kensington dibuat antara 2003 dan 2015, kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah SPRM, Dzulkifli Ahmad mengarahkan sepasukan anggota untuk membuka kertas siasatan berhubung pembelian itu.

Menurut kenyataan itu, pasukan penyiasat mula mendapatkan dokumen berkaitan pembelian hotel terbabit dan kini dalam proses menilai serta meneliti kesemua maklumat tersebut.

“Menerusi maklumat siasatan awal yang diperolehi, FIC dipercayai membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.

“Siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujudnya unsur rasuah dan salahguna kuasa dalam proses pembelian hotel tersebut,” menurut kenyataan itu.

SPRM juga akan memanggil beberapa orang saksi penting dalam masa terdekat bagi tujuan merakam percakapan untuk mendapatkan maklumat serta bukti yang kukuh sebelum tindakan lanjut diambil.

Hotel yang dimaksudkan SPRM berkemungkinan Hotel Grand Plaza Kensington di London, yang dibeli FIC pada Disember 2014 dengan harga £60 juta (RM330 juta).

Grand Plaza Kensington merupakan hotel bertaraf empat bintang yang mempunyai 62 bilik, terletak di kawasan mewah Lexham Garden di Kensington dan Chelsea.

Pembelian itu merupakan hartanah pertama FIC di London dan merupakan yang kedua bagi Felda.

Ia dibuat melalui Ketua Pegawai Eksekutif FIC Mohd Zaid Abdul Jalil dan ketika Isa Samad menjadi pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH).

Pada Mac 2015 SPRM mempersoalkan tentang anak lelaki Isa yang tidak dinamakan berhubung pembelian Kensington, lapor Malaysiakini yang merujuk kepada sumber terdekat siasatan itu.

http://www.malaysiakini.com/news/291247

Kemudiannya dalam bulan yang sama, Paul Low, menteri yang bertanggungjawab atas integriti dan ketelusan berkata SPRM tidak menemui sebarang salah laku berhubung pembelian itu.

Pada Januari tahun ini, pengerusi baharu Felda Shahrir Abdul Samad mengarahkan semua ahli lembaga pengarah FIC meletakkan jawatan bagi memudahkan penstrukturan semula syarikat.

Isa meletakkan jawatan daripada FGVH pada 19 Jun selepas perselisihan dengan Zakaria Arshad berhubung persoalan mengenai tawaran bernilai ratusan juta.

Isa kemudianya dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

FIC sebelum ini dikenali sebagai Capital Protocol Sdn Bhd sebelum dikorporatkan oleh Felda pada Julai 2013.

Syarikat itu terbabit dengan aktiviti bukan perladangan seperti pembangunan hartanah dan perkhidmatan.

Menurut laman webnya, FIC membuat pelaburan dengan IRIS Corporation Berhad, firma pembangunan hartanah Encorp Berhad dan Barakah Offshore Petroleum Bhd yang merupakan pembabitan pertamanya dalam industri minyak dan gas. – 14 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen