Syarikat urus hotel London milik FIC, kata pengerusi


FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) mengesahkan bahawa kedua-dua syarikat iaitu Felda London Hotel (Private) Limited (FLH) dan FIC Global Limited, yang didaftarkan di British Virgin Islands merupakan hak milik FIC sepenuhnya, kata Pengerusinya, Syed Mohamed Syed Ibrahim.

Beliau juga mengesahkan bahawa FLH merupakan pemilik tunggal The Park City Grand Plaza Kensington Hotel di London manakala FIC Global Limited adalah pemilik tunggal Felda House and Grand Felda House, yang juga merupakan penginapan pelajar di London.

Sehubungan itu, beliau berharap penjelasan ini dapat menjelaskan tentang kekeliruan dan pertuduhan negatif terhadap status syarikat-syarikat tersebut yang telah diedarkan atau didedahkan oleh mana-mana pihak.

“Saya ingin menjelaskan bahawa apabila FIC membuat keputusan untuk membuat pelaburan di United Kingdom (UK), kita telah menubuhkan FIC London Hotel Pte Limited dan mendaftarkan syarikat itu di British Virgin Islands untuk tujuan pelaburan. Ini merupakan perkara biasa dilakukan dalam struktur pelaburan asing di UK bagi memaksimumkan faedah cukai.

“Selepas itu, terdapat perubahan dalam struktur pelaburan dan FIC telah menubuhkan satu lagi syarikat iaitu Felda London Hotel (Private) Limited (FLH). Oleh kerana kami mempunyai platform lain, syarikat pertama yang dibiarkan dorman telah dikeluarkan daripada senarai daftar oleh pihak berkuasa UK,” katanya pada sidang media, di Putrajaya hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Felda Shahrir Abdul Samad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Razali Ibrahim.

Syed Mohamed berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli bahawa pemilik hotel Grand Plaza Kensington di London adalah FIC London Hotel Pte Limited yang merupakan sebuah syarikat didaftarkan di British Virgin Island yang telah ditutup.

Dalam laporan media, Rafizi dipetik meminta Perdana Menteri Najib Razak dan Shahrir menjelaskan status pelaburan FIC, yang merupakan anak syarikat milik penuh Felda, ke atas hotel itu.

Sementara itu, Shahrir berkata, beliau telah meminta semua ahli lembaga pengarah FIC yang lama untuk meletakkan jawatan supaya ahli-ahli baharu termasuk dua wakil Felda boleh dilantik dalam mengekalkan profesionalisme dan integriti dalam kesemua aspek perniagaan.

“Satu rombakan telah dibuat pada April lalu yang merupakan gabungan individu profesional dari pelbagai industri berbeza dari sektor awam dan swasta untuk memimpin syarikat dalam proses untuk memperkukuhkan urus tadbir korporat dan kemampanan perniagaan.

“Pelan perniagaan strategik baharu yang meliputi keseluruhan aspek operasi dan perniagaan juga sedang dirangka untuk meningkatkan perniagaan FIC,” katanya. – Bernama, 22 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen