BUAT pertama kali sejak tragedi Memali tercetus 34 tahun lalu, pemimpin PAS dan Umno tampil sepentas untuk berceramah mengenai kejadian itu.
Pemimpin parti berkenaan mengambil peluang dalam ceramah itu untuk menunjukkan kepada kira-kira 3,000 orang yang hadir pada malam tadi bahawa mereka tidak lagi berseteru.
Ia berhasil apabila rata-rata penduduk yang hadir melihat PAS dan Umno bermusuh, seperti sorang guru agama Mohd Yusuf Abd Hamid, 33.
Beliau berpandangan demikian kerana dapat menyaksikan sendiri pemimpin Umno, seperti ahli majlis tertingginya Abdul Azeez Rahim dan naib presiden, Mahdzir Khalid berceramah bersama dengan naib presiden PAS Idris Ahmad.
Katanya gandingan pemimpin Umno dan PAS dalam majlis pada Selasa malam itu membuktikan kedua-dua parti Melayu Islam tersebut boleh bekerjasama dalam semua perkara.
“Saya harap ini akan jadi bukti kita boleh berganding bahu dalam semua hal, bukan politik saja.
“Dalam Muafakat Nasional, tidak boleh dilihat PAS-Umno semata-mata tetapi semua pihak perlu ikhlas dalam perjuangan,” kata Mohd Yusuf.
Ceramah itu diadakan di Sekolah agama Islahiah Diniah di Kampung Memali yang merupakan institusi penting dalam peristiwa itu.
Sekolah berkenaan didirikan oleh Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya yang terbunuh dalam peristiwa berdarah pada 19 November 1985 itu.
Sekolah itu kini dikekalkan sebagai pusat pendidikan penduduk setempat dan kini diambil alih oleh seorang waris kepada penduduk yang terkorban, Yusuf Che Mit.

Sanak saudaranya antara 14 penduduk kampung yang terbunuh dalam operasi pihak berkuasa dalam operasi untuk menangkap Ibrahim Libya atas dakwaan mengancam keselamatan negara itu.
Seorang saudaranya, Rahimi Mat Ramli, 38, yang ditemui di ceramah itu berkata walaupun peristiwa itu sukar dilupakan tetapi beliau tidak berdendam dengan mana-mana pihak.
“Baguslah kita (PAS-Umno) dah bersatu. Saya sebagai waris masih kenangkan Tragedi Memali tetapi kita tidak simpan dendam terutama sekali kepada Umno,” jelasnya yang berusia empat tahun ketika bapanya terbunuh dalam tragedi itu.
Seorang lagi waris, Rozali Ahmad, berkata beliau dapat melihat kerjasama PAS dan Umno itu bukan bermotifkan politik semata-mata apabila dapat melihat pemimpin itu sepentas.
“Saya rasa gembira lihat PAS-Umno sepentas. Dulu kita bermusuh, tapi sekarang tidak lagi.
“Majlis Memperingati Peristiwa Memali ini membuktikan mereka betul-betul mahu bekerjasama, bukan hanya untuk politik,” tambah beliau.
Ketua PAS kawasan itu, Hassan Saad gembira dengan sambutan itu kerana menunjukkan kedua-dua parti kini dapat bekerjasama dengan era walau peristiwa Memali kekal menjadi kenangan pahit.
Kesan itu dapat dilihat sejak September apabila konvensyen sulung diadakan untuk menjelaskan kerjasama dengan Umno diadakan di Baling, katanya.
“Baling menjadi daerah pertama di Kedah yang anjurkan Konvensyen Muafakat Nasional dan kehadirannya juga di luar jangkaan.
“Kita harap antara pihak dalam Muafakat Nasional, bukan hanya (bekerjasama dalam) pilihan raya tetapi kekal selama-lamanya dalam pelbagai aspek untuk negara,” jelasnya.
PAS pada September lalu membayangkan, peristiwa Memali itu tidak lagi menjadi isu kerana parti itu dan juga Umno sudah melupakan persengketaan dalam tragedi itu.
Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan berkata, Tragedi Memali telah menjadi perkara kecil berbanding penyatuan ummah antara kedua-dua parti yang lebih besar.
Tambahnya, isu itu tidak timbul kerana apa yang berlaku adalah takdir, dan sebagai orang Islam, mereka sepatutnya menerima takdir itu.
Satu tinjauan The Malaysian Insight selepas itu juga mendapati waris kepada mangsa dan penduduk menerima kerjasama itu dengan hati terbuka
Kertas Putih yang dikeluarkan kerajaan pada 1986 menyatakan, tragedi itu berpunca daripada ceramah pemimpin Pemuda PAS, Abdul Hadi Awang waktu itu.
Ceramah yang digelar Amanat Hadi itu antara lain menyebut, perjuangan menentang BN merupakan satu syahid kerana parti kerajaan tersebut waktu itu mengekalkan undang-undang kafir.
Abdul Hadi kini merupakan presiden PAS.
Kertas putih bertarikh 26 Februari 1986 itu antara lain merumuskan tindakan polis di Memali bertujuan menguatkuasakan undang-undang. – 22 November, 2019
Komen