Waris, mangsa tragedi Memali terima kerjasama PAS-Umno


Zaim Ibrahim

Di Kampung Memali, Baling, Kedah, sejarah gelap negara tercipta dan ia menghantui hubungan PAS dan Umno berpuluh tahun lamanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2019.

WALAU masih berduka dengan kematian ramai anggota dalam peristiwa Memali, penyokong PAS di kampung ini sedia mengadakan kerjasama dengan parti Umno.

Waris kepada anggota dan pemimpin PAS yang gugur dalam peristiwa itu berkata, penyatuan dua parti terbesar Melayu dan Islam itu diperlukan dalam keadaan semasa.

Salah seorang daripadanya adalah Muhamad Yusuf Husin, salah seorang anak murid kepada pemimpin PAS berpengaruh Ibrahim Libya yang gugur di muncung senapang pasukan keselamatan.

“Bagi kami yang terlibat, keperitan itu memang dirasa (hingga sekarang).

“Tetapi itu bukan penghalang untuk kita bekerjasama dengan Umno untuk perkara lebih besar – demi negara, agama Islam dan kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau ditemui The Malaysian Insight di Kampung Memali yang menjadi saksi kematian 14 orang penduduk akibat tindakan pasukan keselamatan bawah pentadbiran Umno dan BN.

Namun penduduk kampung ini tidak lagi melihat Umno sebagai dalang tindakan tersebut, menurut Muhammad Yusuf yang dua kali ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“(Dalam insiden Memali) Bukan semua orang Umno yang terlibat.

“Sebahagian besar daripada orang Umno minta maaf kepada kita cuma tak perlu saya dedahkan nama,” kata bekas senator PAS itu lagi.

PAS dan Umno yang pernah jadi musuh ketat kini bersatu demi agama, bangsa dan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2019.

Muhamad Yusuf yang kini 65 tahun berkata waris keluarga terlibat juga tidak berdendam.

“Boleh katakan hampir 100% (penduduk Kampung Memali) setuju (kerjasama dengan Umno). Setakat ni tiada sesiapa yang  menyuarkan bantahan,” jelas beliau.

Beliau ditahan bawah ISA kali pertama selepas peristiwa Memali dan kali kedua pada 1987, dalam Ops Lalang bersama-sama Mohamad Sabu, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng waktu itu.

Sementara itu, sepupu kepada Ibrahim Libya, Yusop Che Mit, 60, juga berpendapat kerjasama dengan Umno bukan satu isu.

Jelasnya, ada bantahan daripada keluarga mangsa tragedi itu tetepi hanya pada peringkat awal.

“Pada peringkat awal ada bantahan tapi semakin hampir (hari) Penyatuan Ummah tiada masalah. Semua (waris) sambut dengan baik.

“Inilah waktu yang paling baik sebab selama ini dihalang beberapa ‘pihak’ untuk bergabung (antara Pas-Umno),” tambahnya.

Yusop kini menjadi pengetua Madrasah Islahiah Diniah, sekolah agama yang ditubuhkan oleh Ibrahim Libya sendiri.

Tambahnya, kerjasama itu juga akan berjaya kerana ahli PAS dituntut untuk setia kepada pemimpin parti.

“Kami wala (setia) kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang. Walaupun libatkan darah adik beradik tapi arahan daripada pemimpin untuk taawun (kerjasama) kita terima,” ujar beliau.

PAS dan Umno memeterai Piagam Muafakat Nasional untuk menumpaskan Pakatan Harapan pada PRU15 nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2019.

Senada dengannya, Abdul Nasir Idris, 61, antara individu yang menjaga kebajikan keluarga mangsa Memali.

Adun Bayu itu menyokong kerjasama dengan Umno kerana menurutnya setiap ahli PAS berpegang kepada kesetiaan anggota parti.

“Kita (ahli Pas) memang dididik patuh kepada pimpinan. Kita terpaksa korbankan kepentingan peribadi, memang sakit, perit.

“Tapi kerana jiwa besar dan kepatuhan kepada pemipin, kita terima,” jelas beliau.

Peristiwa itu memberi kesan mendalam kepadanya kerana tiga ahli keluarga termasuk seorang adik perempuan yang sedang hamil ditahan selepas kejadian berkenaan.

Namun kini beliau yakini kerjasama PAS dan Umno akan berjaya dengan melihat kehadiran begitu ramai penyokong partinya di program anjuran bersama.

“(Sewaktu perhimpunan) Penyatuan Ummah di PWTC baru-baru ini, ada penduduk Kampung Memali dan Baling. Itu bukti penerimaan

“Dalam kalangan ahli PAS atau waris Memali setuju dengan Penyatuan Ummah, orang terlibat boleh terima kenapa orang luar nak bangkitkan?” katanya lagi.

Perjanjian kerjasama PAS dan Umno dimaterai secara rasmi dalam Piagam Muafakat Nasional pada Sabtu lalu.

PAS minggu lalu menyatakan, peristiwa Memali hanya isu kecil pada masa ini berbanding penyatuan ummah dan membayangkan kedua-dua parti sudah melupakan peristiwa itu. – 21 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen