PERISTIWA berdarah Memali sudah tidak timbul lagi sekarang selepas dua parti itu memilih untuk bekerjasama atas nama penyatuan ummah, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.
Beliau membayangkan kedua-dua parti sekarang sudah melupakan peristiwa berdarah pada November 1985, yang tercetus ketika kemuncak hubungan tegang antara penyokong mereka sehingga membawa kepada tuduhan kafir-mengkafir.
“Peristiwa itu telah menjadi kecil dengan adanya penyatuan ummah ini. itulah kesimpulannya… peristiwa lain (juga) bukan sahaja Memali.
“Begitu juga dalam Umno… ada peristiwa yang pahit, sekarang jadi kecil berbanding dengan agenda besar ini yang kita beri keutamaan… tak ada benda lain,” katanya, pada sidang media bersama dengan Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa di Kuala Lumpur, hari ini.
Sidang media itu diadakan menjelang Himpunan Penyatuan Ummah selama dua hari bermula esok, yang akan ditutup dengan pemeteraian piagam kerjasama Umno dan PAS pada Sabtu.
Dalam kejadian pada 19 November 1985 di Kampung Memali, di Baling, Kedah, 18 orang terbunuh termasuk empat anggota polis dalam operasi pihak berkuasa mahu menahan penyokong PAS, Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya atas dakwaan mengancam keselamatan negara.
Menurut Takiyuddin, berdasarkan maklum balas daripada pimpinan PAS di Kedah, waris keluarga dan penduduk Memali sudah memaafkan Umno sekaligus dapat menerima penyatuan antara dua parti itu hujung minggu ini.
Beliau juga memaklumkan PAS kawasan di Memali banyak menjemput Umno untuk program bersama sejak awal tahun ini, sesuatu yang tidak pernah berlaku selama ini ketika mereka langsung tidak boleh menerima Umno.
“Saya nak maklum bahawa PAS Memali adalah kawasan PAS yang paling keras dulu termasuk peristiwa yang berlaku pada 1985.
“Tapi sekarang PAS Memali telah membuat program bersama dengan Umno di Baling,” katanya.
“Kita dapat buat kesimpulan daripada apa (penerangan) diberikan kepada kita. Mereka ini terdiri daripada ahli PAS, cawangan PAS di sana sudah tentu boleh terima,” katanya.

Takiyuddin menjawab soalan adakah waris peristiwa Memali dalam memaafkan Umno dengan penyatuan dua parti itu.
Jelas Takiyuddin, isu tidak timbul kerana apa yang berlaku adalah takdir, dan sebagai orang Islam, mereka sepatutnya menerima takdir itu.
Malah beliau yakin penduduk Memali dapat melupakan tragedi tersebut kerana mereka ahli PAS yang patuh.
“Ya, mereka patuh (ahli PAS) peristiwa Mamali ini berlaku satu takdir. Kita sebagai orang islam kita terimalah. Setakat ini, semua boleh terima,” katanya.
Selepas kejadian Memali, kerajaan pada masa itu – yang juga di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri – membentangkan kertas putih di Parlimen.
Kertas putih bertarikh 26 Februari 1986 itu antara lain merumuskan tindakan polis di Memali bertujuan menguatkuasakan undang-undang.
Kertas putih itu turut mencatatkan kejadian itu berlaku kesan pengaruh kenyataan presiden PAS sekarang, Abdul Hadi Awang dalam ceramahnya di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada April 1981 yang kemudiannya disebarkan oleh ahli parti Islam itu sebagai “Amanat Hadi”.
Mengulas kenyataan Dr Mahathir baru-baru ini agar PAS menarik kembali Amanat Hadi sebelum boleh menjalin kerjasama rasmi dengan Umno, Takiyuddin berkata kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan itu hanya kenyataan politik.
“Saya kira kenyataan beliau itu adalah satu kenyataan politik. Mungkin orang politik apabila melihat persiapan HPU914 mendapat liputan begitu hebat, beliau mungkin mencetuskan satu perkata untuk mengalih pandangan masyarakat,” katanya.
Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight pada 2017, bekas Ketua Polis Negara, Haniff Omar menolak gesaan agar kejadian lebih 30 tahun lalu itu disiasat semula melalui suruhanjaya diraja.
Beliau ketika itu mengulas kesediaan kerajaan Barisan Nasional (BN) menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat peristiwa Memali. – 12 September, 2019.
Komen