BN malukan Pakatan di Tg Piai


SM Amin

Wee Jeck Seng diraikan pemimpin atasan BN atas kemenangannya merampas semula Tanjung Piai daripada Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 November, 2019.

BARISAN Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai selepas mengalahkan Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti lebih 15,000 undi, jauh lebih baik berbanding pilihan raya umum setengah tahun yang lalu.

BN bukan saja menambah undi malah menambah majoriti mengatasi pilihan raya 2008.

Dalam keputusan rasminya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon BN Wee Jeck Seng mendapat 25,466 undi berbanding calon PH Karmaine Sardini yang mendapat 10,380 undi. 

Wee menang dengan majoriti 15,086 undi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Wee kalah kepada calon PH, dengan majoriti tipis 524 undi. 

Wee kali ini juga menambah hampir 5,000 undi berbanding yang diraihnya pada PRU14. Pada PRU14, calon PH Dr Md Farid Md Rafiq mendapat 21,255 undi.

Calon Gerakan Wendy Subramaniam jauh tercicir dengan 1,707 undi sementara calon Berjasa Badrulhisham Abdul Aziz mendapat 850 undi. Dua calon bebas Dr Ang Chuan Lock mendapat 380 undi dan Faridah Aryani Abd Ghaffar hanya 32 undi.

Majoriti yang dimenangi Wee ini juga adalah yang paling dalam rekod 3 kali menang di Tanjung Piai.

Penyokong BN meraikan kemenangan Wee Jeck Seng di Tanjung Piai.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 November, 2019.

Tg Piai milik BN

Sehingga PRU14 lalu, Tanjung Piai adalah kerusi tradisi BN sejak ia dipertandingkan pertama kali pada 2004. 

Wee menang pada 2008 dan 2013 tetapi dalam PRU14 kalah kepada calon Md Farid dalam pertandingan tiga penjuru bersama calon PAS, Nordin Othman.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan selepas Md Farid meninggal dunia pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung. 

Dalam pilihan raya kecil ini, BN mengalahkan PH hampir di semua pusat daerah mengundi termasuk majoriti Cina yang sebelum ini dimenangi oleh PH dalam PRU14.

Pada PRU14, BN menang 16 pusat daerah mengundi tetapi kalah kerusi Parlimen Tanjung Piai kerana PH meraih undi lebih banyak walaupun hanya menang 11 pusat daerah mengundi.

Keputusan ini menepati rumusan trend dua daripada tiga badan penyelidik yang membuat kajian lapangan di Tanjung Piai sepanjang tempoh berkempen.

Kajian Institut Strategi dan Integriti Terengganu (TSIS) senada dengan dapatan Ilham Centre yang mendapati pengundi Cina kini beralih mendukung BN.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya PH Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu dalam sidang media terakhir menutup kempen menyifatkan kajian yang merumuskan BN menang hanya perang psikologi.

SPR mengumumkan calon BN Wee Jeck Seng mendapat 25,466 undi berbanding calon PH Karmaine Sardini yang mendapat 10,380 undi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 November, 2019.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata seramai 74.5% pengundi menunaikan tanggungjawab mengundi hari ini, yang kedua tertinggi selepas pilihan raya kecil DUN Rantau awal tahun ini iaitu 79.31%.

“Sasaran kita ialah 70% (di Tanjung Piai),” katanya.

Dalam reaksi awal, bekas timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali berkata kekalahan PH adalah referendum terhadap kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Keputusannya paling jelas. Rakyat kecewa dan mahu ajar PH khususnya Tun Dr M,” tulisnya di Twitter.

“Beliau harus tahu apa yang patut dilakukannya dengan segera. Jangan dolak dalik lagi!,” tambanya, dipercayai merujuk pada pelan peralihan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Kemenangan ini memberikan suntikan yang padu kepada BN, yang mengharapkan kekuatan baru selepas Umno menjalin kerjasama politik dengan PAS pada September lalu.

Hampir dua jam selepas undi mula dikira dan ketika trend keputusan jelas nampak memihak kepada BN, jentera parti yang berada di bilik gerakan sudah bersorak dan bernyanyi merayakan kemenangan. Ketika itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum lagi mengumumkan keputusan rasmi.

Mereka bersorak dan menyanyi “Terima Kasih Tanjung Piai” dan “Tanjung Piai kita punya” sambil mengibar bendera calon BN.

Petugas jentera BN Hanafi Mamat dari Umno Selangor berkata beliau sangat puas hati dengan keputusan yang disifatkannya sangat luar biasa. 

“Rasa penat berkempen selama lebih seminggu di sini hilang. Sangat berbaloi,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 16 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen