SEBUAH lagi badan kaji selidik menjangka Barisan Nasional (BN) akan menang Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai esok.
Institut Strategi dan Integriti Terengganu (TSIS) dalam kajiannya mendapati ada kecenderungan pengundi menolak Pakatan Harapan (PH) kerana dianggap gagal melaksanakan manifesto pilihan raya umum yang lalu.
“Petanda-petanda sangat jelas mengenai penolakan pengundi Tanjung Piai kepada PH…, iaitu 51.0% responden menyatakan PH tidak perlu terus diberi peluang untuk memerintah berbanding 28.3% responden yang menyatakan PH perlu terus diberi peluang untuk memerintah,” kata kajian badan milik kerajaan Terengganu, yang dipetik Harakahdaily.
Kajian itu dijalankan terhadap 300 responden mewakili pecahan demografi pengundi di Tanjung Piai mengikut kaum dan umur. Kajian dibuat selama tiga hari antara 7 hingga 9 November lalu, pada hujung kempen minggu pertama.
Kajian TSIS juga mendapati trend sama sekurang-kurangnya di tiga daerah mengundi majoriti Cina iaitu Bandar Pekan Nanas Tengah, Jalan Rimba Terjun dan Bandar Permas Kechil, yang semuanya dimenangi oleh PH pada PRU14.
Kajian TSIS ini senada dengan dapatan Ilham Centre yang mendapati pengundi Cina kini beralih mendukung BN.
Sama seperti kajian TSIS, kajian Ilham Centre juga mendapati pengundi Cina tidak puas hati dengan prestasi kerajaan Persekutuan dan Johor.
Kajian TSIS mendapati 68.3 % responden setuju PH tidak berjaya melaksanakan manifestonya berbanding 20.7 % merasakan PH sudah berjaya.
Mengenai prestasi kerajaan Johor pula, 60.7 % responden berpendapat PH tidak berjaya melaksanakan manifestonya manakala 58.7 % setuju PH sudah berjaya.
Majoriti responden juga merasakan PH tidak berjaya memperbaiki kedudukan ekonomi sementara kehidupan rakyat tidak bertambah baik sejak PH mengambil alih pentadbiran negara daripada BN.
Dalam pada itu, 61.7 % responden cenderung menyokong calon BN Wee Jeck Seng berbanding 24% lebih menyenangi calon PH, Karmaine Sardini.
Kaji selidik TSIS juga mendapati 52.7 % menerima baik kerjasama Umno dan PAS sementara hanya 4% bimbang.
TSIS juga menjangkakan kemenangan calon BN akan memperkukuhkan kerjasama antara PAS dan BN sekali gus meluaskan penerimaan Muafakat Nasional dalam kalangan bukan Melayu.
PRK Tanjung Piai diadakan selepas kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafiq pada 21 September.
Kawasan itu mempunyai 52,986 pemilih berdaftar terdiri daripada 57.6% Melayu, 41.4% Cina dan 1% India.
Selain calon BN dan PH, empat calon lagi bersaing di Tanjung Piai dari Gerakan, Berjasa dan dua calon Bebas. – 15 November, 2019.
Komen