UNDI masyarakat Cina Tanjung Piai dijangka beralih dalam pilihan raya kecil 16 November yang akan memberi kemenangan selesa kepada Barisan Nasional, menurut tinjauan Ilham Centre.
Antara faktor utama peralihan sokongan itu adalah kegagalan kerajaan menunaikan janji manifesto dan prestasi kerajaan persekutuan yang kurang memuaskan, kata badan kajian itu.
Tinjauan itu turut mendapati kenaikan kos sara hidup turut mendorong pengundi memilih BN, menurut laporan Ilham Centre.
Penolakan disebabkan kegagalan menunaikan janji itu sebanyak 59%, sama seperti penolakan disebabkan prestasi Kerajaan Persekutuan yang kurang memuaskan.
Penolakan disebabkan prestasi kerajaan negeri yang kurang memuaskan pula sebanyak 53%, manakala penolakan disebabkan faktor kenaikan kos sara hidup adalah 60%.
Tinjauan itu juga mendapati, tidak ramai pengundi Cina itu berpendapat kerjasama BN dengan PAS akan meminggirkan kaum minoriti tersebut.
“Ditanya adakah kerjasama BN-PAS dalam Muafakat Nasional akan meminggirkan kaum minoriti kaum Cina, India dan lain-lain, hanya 40% sahaja yang bersetuju, 37% menyatakan tidak pasti dan 23% mengatakan tidak bagi pernyataan ini.
“Namun begitu, ianya bukanlah satu sokongan terhadap Muafakat Nasional di kalangan pengundi Tanjung Piai,” ringkasan kajian itu dipetik.

Ringkasan eksekutif laporan itu menyebut, kajian berkenaan diadakan atara 9 sehingga 11 November dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata.
Ia diadakan ke atas 394 pengundi berdaftar P165 Tanjung Piai mewakili semua segmentasi kaum, jantina, umur dan lokaliti.
Kumpulan pengundi Cina membentuk 42% daripada keseluruhan pengundi Parlimen Tanjung Piai yang mempunya 27 pusat daerah mengundi.
Dalam PRU14, BN menang 16 pusat daerah mengundi pengundi Melayu manakala Pakatan Harapan menang 11 pusat daerah mengundi Majoriti Cina atau campuran.
Laporan itu turut mengariskan bahawa PH berjaya menawan Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 524 dalam PRU14 disebabkan pertandingan tiga penjuru dengan BN dan PAS.
Oleh itu, PH sudahpun tewas sejak awal dengan apabila PAS berkempen untuk BN, menurut laporan Ilham Centre.
“Dengan membuat matematik mudah, Pakatan Harapan sebenarnya sudah ketinggalan kira-kira 1,902 undi sebelum perlawanan bermula lagi,” laporan itu dipetik.
Ilham Centre seterusnya mendapati, pengundi yang menyokong PAS dalam PRU14, seramai 82% responden, tidak kekok menyokong BN dalam PRK 16 November.
Selain itu, seramai 76% pengundi tersebut yakin Muafakat Nasional mampu menumbangkan kerajaan PH dalam pilihan raya akan datang.
“Jelas sekali bagi pengikut PAS, mereka akur dengan arahan parti dan kepiminan tertinggi agar memenangkan calon BN sebagaiman dibuktikan dalam PRK Cameron Highlands, Port Dickson, Semenyih dan Rantau sebelum ini,” kata laporan itu.

Ia dikuatkan lagi dengan sentimen pengundi tersebut, seramai 69% yang menganggap kerajaan hari ini dikuasai oleh DAP.
“Tambah menarik, hanya 22% yang bersetuju bahawa latar belakang calon Pakatan Harapan Karmaine Sardini sebagai imam memberi kelebihan besar buat PH.
Ilham Centre juga mendapat keputusan BN meletak Wee Jeck Seng sebagai calon sebagai pilihan tepat atas faktor jasa sebagai wakil rakyat sebelum ini selain daripada personaliti calon itu sendiri.
“Sepanjang observasi kempen, kami menilai Jeck Seng adalah seorang yang sangat berkeyakinan dan mempunyai motivasi yang tinggi – berjaya menambat hati pengundi Melayu dan Cina.
“Meskipun Karmaine calon kerajaan pemerintah dengan berlatar belakang seorang imam, ternyata calon PH ini gagal ditonjolkan oleh jentera PH dan dilihat sangat low profile dan tidak menonjol seperti Jeck Seng.
Ia turut mendapati peralihan undi pemilih Johor dalam PRU14 adalah disebabkan imej bekas perdana menteri Najib Razak yang terpalit dengan skandal.
Bagaimanapun, pengundi Johor tetap melihat pentadbiran bekas menteri besar Mohamed Khaled Nordin waktu itu berada pada tahap cemerlang.
“Kejatuhan Johor yang merupakan negeri kelahiran dan negeri terkuat Umno disumbangkan oleh faktor-faktor yang berlaku di Putrajaya dan bukan disebabkan oleh kepimpinan negeri Johor.
“Pola pengundian sebegini amat rapuh dan tidak kekal kepada PH,” menurut laporan tersebut.
Selain Karmaine dan Wee, empat lagi calon bertanding merebut kerusi itu yang kosong selepas kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafiq pada 21 September.
Kawasan itu mempunyai 52,986 pemilih berdaftar. – 14 November, 2019.
Komen