Ismail Sabri pertimbang saman SPR 


Ragananthini Vethasalam Diyana Ibrahim

Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob (tengah) berkata usu berhubung perkara itu juga sudah difailkan kepada Speaker Dewan Rkayat dan akan dibentangkan oleh Ahli Parlimen Tanjong Karang Noh Omar esok.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2019.

PAKATAN pembangkang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung peraturan baharu yang memerlukan permit polis untuk program walkabout dan berkempen dari rumah ke rumah.

Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob berkata, usul mengenai perkara itu juga sudah difailkan kepada Speaker Dewan Rakyat.

“Esok, Tanjong Karang (Noh Omar) akan bentangkan usul itu, Kita juga akan bawa perkara ini ke mahkamah,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen yang turut dihadiri oleh 15 orang pemimpin pembangkang.

Menurutnya, pihaknya telah berjumpa dengan peguam untuk membincangkan mengenai perkara itu.

Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun semalam bahawa keperluan mendapatkan permit itu adalah atas permintaan polis, Ismail berkata SPR mempunyai peranan untuk menasihatkan pihak polis.

“Kerana pihak berkuasa untuk pilihan raya adalah SPR dan SPR perlu menasihatkan polis dan bukan sebaliknya. Pilihan raya tertakluk kepada Akta Pilihan Raya,” katanya.

Ahli Parlimen Bera berkata, tindakan undang-undang bagi menentukan sama ada keperluan untuk permit polis adalah mengikut undang-undang, mungkin akan dibuat selepas pilihan raya kecil Tanjung Piai Sabtu ini.

Sebelum peraturan baharu dilaksanakan, beliau berkata mereka perlu membawa perkara itu ke Dewan Rakyat dan mendapat persetujuan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa SPR untuk membatalkan segera peraturan itu.

Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri dari Gabungan Parti Sarawak berkata, peraturan berkenaan adalah kuno dan kerajaan terdahulu memudahkan proses.

Azhar semalam berkata, bagi PRK Tanjung Piai, polis telah membuat keputusan untuk melaksanakan keperluan permit bagi program walkabout dan kempen dari rumah ke rumah.

“Dalam kes di Tanjung Piai, polis memutuskan untuk mengenakan syarat baharu bagi permit, malah untuk walkabout dan kunjungan rumah ke rumah.

“SPR tidak ada kena mengena dengan syarat itu,” katanya.

Ketua Polis Johor Mohd Kamarudin Md Din ketika mengulas berhubung peraturan baharu itu semalam berkata, ia mengelak penyokong dua parti berlainan bertembung dan bukan untuk menghalang mana-mana parti atau calon berkempen. – 13 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen