Syarat baru kempen Tg Piai untuk elak penyokong bertembung, kata polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Polis Johor berkata, ia bagi mengelakkan penyokong parti berlainan bertembung sebelum mula berlaku provokasi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2019.

SYARAT tambahan dalam permit berkempen dari rumah ke rumah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai bertujuan mengelak penyokong dua parti berlainan bertembung, kata Ketua Polis Johor, Mohd Kamarudin Md Din.

Langkah berkenaan bukan untuk menghalang mana-mana parti atau calon berkempen, jelasnya.

Syarat tambahan itu, yang memasukkan masa dan tempat kempen, adalah untuk membantu pihak polis memantau dan mengawal keselamatan dengan mengelak penyokong dua parti berada di lokasi sama, katanya.

“Sebelum ini sudah berlaku, contohnya di pasar malam di Tanjung Piai di mana penyokong parti berlainan bertembung sebelum mula berlaku provokasi.

“Sekiranya polis tiada di situ semestinya keadaan sudah bertambah teruk. Kami hanya ingin memastikan keamanan sepanjang tempoh PRK ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Kamaruddin, apabila calon sudah menyatakan lokasi dan masa mereka berkempen, polis akan tahu lebih awal sekiranya calon lain juga akan berada di lokasi yang sama.

“Jika tahu lebih awal, kami akan menambah kekuatan polis di lokasi itu.

“Saya juga sudah menambah kekuatan pasukan polis secara keseluruhan untuk PRK ini,” katanya.

Katanya, wakil semua parti politik juga sudah dipanggil dan diberi penjelasan berhubung syarat tambahan itu.

“Semua faham dan sedia beri kerjasama. Kami yakin akan mampu mengawal keadaan dan keamanan sepanjang pilihan raya kecil ini,” katanya.

Awal hari ini, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob mempertikaikan peraturan baharu oleh SPR berhubung permit polis untuk berkempen dari rumah ke rumah di Tanjung Piai.

Beliau yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat berkata hal itu tidak pernah berlaku sebelum ini yang mana permit hanya diperlukan untuk ceramah sahaja.

Dalam reaksi balas, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun membidas Ismail Sabri dan pemimpin pembangkang lain kerana sembrono menuduh pihaknya berat sebelah.

Katanya, kritikan mereka terhadap SPR “tidak berasas, ada unsur politik dan mungkin didorong oleh niat jahat.” – 12 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen